Isu Pasma: PKR, DAP Tidak Endah 
Gesaan Pas

SHAH ALAM 16 Feb. – Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP negeri seolah-olah tidak endah dengan gesaan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad supaya mereka tidak menyertai sebarang program anjuran Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) selagi tiada ‘lampu hijau’ daripada peringkat pusat.

 

Setiausaha PKR negeri, Amirudin Shari berkata, ketetapan sedemikian seharusnya diputuskan di peringkat pusat dan apa yang dinyatakan oleh Iskandar dianggapnya sebagai pandangan peribadi semata-mata.

 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves bagaimanapun menghormati pandangan Iskandar itu.

 

“Di peringkat DAP dan PKR tiada arahan jelas. Justeru, satu keputusan daripada pusat perlu ada dan kepimpinan perlu memperjelaskan kedudukan Pasma kepada semua ahli.

 

“Pasma adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sebahagiannya menyokong Pas dan ada yang menyokong PKR, jadi perkara ini perlu dijelaskan dalam pakatan pembangkang dan sekiranya mereka dapat kukuhkan parti, kita tidak perlu curiga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

Iskandar hari ini meminta pemimpin PKR dan DAP negeri supaya tidak menyertai sebarang program anjuran Pasma bertujuan mengelak kerjasama pakatan pembangkang yang sedia terjalin terjejas disebabkan isu NGO berkenaan.

 

Sementara itu, Setiausaha Antarabangsa Wanita DAP, Hannah Yeoh dilihat mengambil sikap berkecuali dalam perkara tersebut.

 

“Saya tidak mahu komen,” katanya ringkas ketika dihubungi.- Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.