Isu Kidex Dibawa Ke Mesyuarat Kabinet – Fadillah

Kuala Lumpur – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan merujuk kepada Kabinet berhubung kenyataan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor yang mengumumkan pembatalan projek Lebuhraya Kinrara Damansara (Kidex).

 

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kementeriannya akan membawa isu itu kepada mesyuarat Kabinet pada Rabu untuk tindakan susulan.

 

“Saya berpandangan isu ini perlu diselesaikan menerusi perundingan dengan semua pihak untuk mencari pendekatan terbaik demi rakyat.

 

“Kidex ini diluluskan dahulu melalui proses sepatutnya dan saya dimaklumkan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali membatalkannya semalam, jadi isu ini akan dibawa ke mesyuarat esok,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 

Fadillah mengulas pengumuman pembatalan Kidex oleh Azmin dengan alasan kerajaan negeri mendapati pihak Kidex gagal mematuhi syarat-syarat yang dipersetujui sebelum tarikh akhir 14 Februari 2015.

 

Kata Azmin lagi, kerajaan Selangor juga sebelum ini telah meminta syarikat itu untuk menyediakan penilaian bebas tentang impak lalu lintas, sosial dan alam sekitar untuk membuktikan manfaat lebuh raya itu kepada penduduk di kawasan terlibat.

 

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Kidex Sdn Bhd (KSB), Datuk Mohd Nor Idrus memaklumkan pihaknya sedang menunggu maklum balas daripada Kerajaan Persekutuan berhubung pembatalan projek itu oleh kerajaan Selangor.

 

Jelas Fadillah lagi, hasil mesyuarat Kebinet akan dikemukakan secara menyeluruh untuk tindakan susulan dan konteks berkaitan.

 

“Kita akan bawa ke Kabinet dan dapatkan pandangan serta panduan berkaitan isu ini. Kita juga percaya dalam konteks mana-mana penswastaan sekali pun, perundingan adalah jalan terbaik.

 

“Ia melibatkan beberapa pemegang kepentingan dan kita yakin perundingan itu bakal membawa pandangan positif semua,” ujarnya.

 

Katanya lagi, maklumat dan maklum balas rakyat turut dilihat faktor yang membawa bersama pandangan untuk jalan penyelesaian isu berkenaan.

 

Dalam pada itu, Fadillah enggan mengulas lanjut ketika ditanya apakah tindakan Azmin itu dilihat tidak melanggar perjanjian sebelum ini.

 

Katanya, ia hanya akan dimaklumkan selepas mesyuarat Kabinet pada Rabu. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.