Isu Boikot : Ismail Sabri Anggap Kontroversi Selesai, Beri Tumpuan Isu Harga Barang

Kuala Lumpur – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap kontroversi ekoran kenyataan menggesa pengguna Melayu memulau peniaga Cina selesai dan akan memberi tumpuan terhadap usaha menangani isu harga barang.

 

Menteri pertanian dan industri asas tani itu berkata, beliau percaya pemimpin MCA dan Gerakan turut akur dengan keputusan Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar isu tersebut diselesaikan kerana isu besar buat masa ini adalah harga barang yang tidak turun dan pengguna yang sepatutnya menggunakan kuasa mereka.

 

“Saya juga hendak memberitahu bahawa apabila pengguna menggunakan kuasa, bukan bermakna boikot semata-mata tetapi mereka perlu bijak membuat pilihan. Misalnya sekarang, pasar tani menawarkan harga yang murah daripada tempat lain, itu kuasa pengguna sebenarnya.

 

“Sebab itu Kabinet kata memanjangkan isu ini (kenyataannya) tidak selesaikan masalah harga barangan, sepatutnya fokus utama diberikan kepada penurunan harga barangan,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Sebelum ini, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengecam Ismail kerana membuat kenyataan berbaur perkauman mengenai perniagaan kaum Cina, mengatakan harga barangan yang naik tiada kaitan dengan latar belakang etnik peniaga.

 

Dr Mahathir berkata, daripada memainkan isu perkauman, Ismail sepatutnya mencari punca sebenar masalah yang dihadapi.

 

“Itu cara yang negatif menyelesaikan masalah. Cari puncanya,” katanya pada satu sidang media.

 

“Mungkin dia tak fikir apa dia cakap, kalau dia fikir baik-baik, dia tak akan kata boikot barang jualan orang Cina,” katanya.

 

Menurut Dr Mahathir, isunya bukan tentang Cina atau Melayu, kerana terdapat peniaga Melayu dan India juga yang tidak menurunkan harga barang jualan mereka.

 

“Ini bukan tentang Cina, Melayu atau sesiapa saja, ini tentang barangan, bukan sahaja yang dijual oleh orang Cina… India, Melayu juga menaikkan harga barang, mereka tak turunkan harga barang.

 

“Ini bukan tentang Cina atau Melayu, ini tentang harga minyak yang turun tetapi harga barang tidak turun.”

 

Khamis lalu, Ismail menggesa pengguna mendesak peniaga menurunkan harga barangan seiring penurunan harga minyak dan tarif elektrik yang berkuat kuasa 1 Mac ini.

 

“… harga minyak turun sebanyak tiga kali dan terkini tarif elektrik pula, jadi tidak ada alasan untuk peniaga tidak turunkan harga barang.

 

“Pengguna mesti desak peniaga turunkan harga. Bila saya kata guna kuasa pengguna, bukanlah boikot semata-mata tapi buat pilihan alternatif,” katanya.

 

Memetik laporan Utusan Malaysia hari ini, Ismail mendakwa pembangkang cuba memanipulasikan isu harga barangan tidak turun selepas penurunan harga minyak petrol dan diesel demi kepentingan politik mereka.

 

“Pada hari ini apabila harga minyak turun, harga barangan tidak turun, kita tidak dengar pun suara mereka (pembangkang) minta peniaga menurunkan harga barangan,” katanya. – MI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.