Gugat Keamanan Bakal Terima Padah – Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR 16 Feb. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengingatkan bahawa mana-mana pihak yang menggugat keamanan negara bakal menerima hukuman sewajarnya.

 

Katanya, pemilik akaun YouTube yang menggunakan nama ‘isis malaysia 69’ kini sedang dikesan bagi membantu siasatan berkaitan cubaan menghasut orang ramai mengadakan bantahan terhadap sistem keadilan negara ini melalui video yang dimuat naik di laman itu.

 

“Sesiapa yang cuba menggugat keamanan dan ketenteraman akan menerima padahnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika mengulas video selama 61 saat yang menjadi viral selepas dimuat naik di laman YouTube yang menunjukkan empat lelaki bertopeng mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap sistem keadilan mahkamah.

 

Kumpulan itu turut merancang untuk membakar mercun di mahkamah sebagai simbolik kepada kehancuran salah satu cabang sistem demokrasi.

 

“Kepada mana-mana parti yang terlalu lama memerintah, kami anak muda Malaysia tahun 2015, dengan ini, mengumumkan hasil manipulasi tipu helah selama ini menggunakan demokrasi, hari ini, kami mengisytiharkan kami tidak lagi percaya kepada sistem demokrasi.

 

“Andalah yang membentuk kami, kami terbentuk hasil dari tangan-tangan anda,” itu antara kata-kata yang dikeluarkan oleh kumpulan itu.- Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.