BN Tak Letak Calon Takut Kalah – Pemimpin Pas

KUALA TERENGGANU – BN disifatkan mengalah terlalu awal apabila mencadangkan untuk tidak meletakkan calon di Dun Cempaka.

 

Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman berkata, BN seolah-olah takut bertanding di kawasan kubu kuat Pas itu.

 

Katanya, mungkin pihak terlibat yakin tidak akan menang menentang calon Pas berikutan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berjaya mengekalkan kerusi tersebut di bawah Pas sejak 1990 dan mendapat 6,500 undi majoriti pada PRU13 lalu.

 

Beliau yakin sekiranya Dun Cempaka dimenangi Pas dengan majoriti tipis, Umno dan BN sudah tentu tidak teragak-agak meletakkan calonnya di kerusi tersebut.

 

“Secara demokrasi, apabila ada kematian, seeloknya bertanding. Saya yakin sekiranya majoriti undi 50-50, Umno akan masuk bertanding kerana banjir bukan isunya. Sepatutnya sistem demokrasi diraikan.

 

“Mungkin kalau bertanding mereka boleh menurunkan majoriti undi,” katanya kepada Sinar Harian.

 

Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, secara peribadi beliau berpandangan mungkin BN tidak perlu meletakkan calon pada PRK Dun Cempaka.

 

Mustapa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bersama Bencana Banjir Negeri Kelantan berkata, ini kerana tumpuan perlu diberi kepada kerja pemulihan pasca banjir di negeri itu.

 

Sementara itu, Ariffin berkata, pihaknya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya di Dun Cempaka dan juga Parlimen Permatang Pauh yang turut kosong berikutan penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.

 

Beliau turut yakin kedua kerusi terbabit akan dipertahankan PR memandangkan kedua-duanya mendapat majoriti undi tinggi pada  PRU13.

 

Bagaimanapun katanya, walaupun memperoleh kemenangan besar, Pas Terengganu tetap melakukan persediaan untuk menghadapi pilihan raya kecil itu.

 

“Kita tunggu arahan SPR. Kalau ada pertandingan di Dun Cempaka, kita akan hadapinya dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk akan bantu Parlimen Permatang Pauh,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.