Arwah Suka “Bojeng Nipis” – Hamid

Kota Bharu – Menjadi tukang rambut peribadi kepada seorang tokoh disegani masyarakat adalah kenangan abadi bagi Abdul Hamid Sheikh Mubarak.

Beliau menjadi pilihan sebagai tukang gunting rambut mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sejak 1970-an lagi.

 

Katanya, sebelum ini, arwah memotong rambut dengan majikannya, allahyarham Yakob Senik yang pada ketika itu, Abdul Hamid bekerja di situ.

Selepas majikannya meninggal dunia, Abdul Hamid, 73, mengambil alih tugas itu.

Nik Aziz akan ke kedainya setiap tiga minggu. Beliau sukakan gaya “bojeng nipis” atau potongan rambut nipis dan kemas, laporSinar Harian.

“(Dia) datang dengan senyuman dan duduk di kerusi tanpa sebarang pemintaan, maka kita buatlah kerja kita, dari dulu sampai akhir hanya satu fesyen sahaja arwah suka iaitu gaya ‘bojeng nipis’,” beliau dipetik sebagai berkata.

 
Tambahnya, arwah seorang yang tidak merungut dan sering melemparkan senyuman ketika sampai di kedainya yang terletak di bangunan pejabat PAS negeri Kelantan.

 
6 hari sebelum meninggal

 
Abdul Hamid menganggap arwah merupakan pelanggan istimewanya kerana kain alas untuk mengunting rambut tidak dikongsi dengan pelanggan lain, namun katanya selepas pemergian Nik Aziz kain itu akan dikongsi dengan semua pelanggan.

Tambahnya, sebelum ini arwah ke kedainya untuk mengunting rambut sempat bercerita mengenai masalah kesihatan sehingga arwah dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) bagi mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, antara rezeki terakhir sebagai tukang gunting rambut sehingga dia dijemput ke HUSM enam hari sebelum Nik Aziz menghembuskan nafasnya yang terakhir untuk mengunting rambut bekas menteri besar Kelantan itu.

“Ya Allah, inilah yang dinamakan takdir, ketika mengingati pemimpin tersohor itu, saya diberi peluang untuk bersua dengannya walaupun dalam keadaan uzur.
“Sebak hati namun digagahkan juga. Ketika itu saya menipiskan rambut arwah dalam keadaan terbaring dan sudah terlalu uzur.
“Saya hanya membalikkan tubuh pemimpin disanjung rakyat itu ke kanan dan ke kiri. Itu kenangan yang tidak akan dipadam selamanya,” katanya seperti dilaporkan akhbar itu.
Tambahnya lagi, masih terbayang kenangan indah itu walaupun terpaksa mengunting rambut dalam keadaan terbaring, namun arwah tersenyum dan mengangguk tanda terima kasih kerana memenuhi permintaannya. – Mkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.