Pelat Bahasa Indonesia Keith Foo Semakin Hilang

PETALING JAYA: Pelakon Keith Foo semakin selesa apabila pelat bahasa Indonesia yang digunakannya sejak 10 tahun lalu semakin lenyap dan memudahkan dalam menjayakan sesuatu watak dalam telefilem atau drama bersiri lakonannya.

Keith, 31, berkata, pada awalnya di menghadapi kesukaran untuk membuang pelat berkenaan namun latihan percakapan yang dilakukan setiap hari dalam kehidupan sehariannya banyak membantunya.

“Saya akui mula-mula balik ke Malaysia memang susah untuk bercakap dengan gaya biasa dan saya menghadapi kesukaran untuk memastikan penggunaan ayat dan slanga itu tidak ada dalam lakonan.

“Bagaimanapun pelat itu semakin hilang dan sudah mendapat kembali percakapan asal saya seperti sebelum ini,” katanya kepada mStar Online.

Nama pelakon kelahiran Gemas, Negeri Sembilan itu melonjak apabila muncul dalam drama Ariana Rose menerusi watak Tengku Adam Kamil disamping aktres Nur Fathia.

Keith sebelum ini adalah pelakon dan model terkenal di Indonesia dan mengambil keputusan untuk kembali ke Malaysia bagi menjaga kedua ibu bapanya dan mencipta nama di negara sendiri.

Dalam pada itu, Keith berkata, dia tidak kesal menarik diri sebagai artis di bawah payung Astro dan menguruskan kariernya di bawah syarikat pengurusannya iaitu Aksi Reaktivasi Sdn Bhd kerana dapat mempelajari pelbagai perkara tentang industri lakonan di negara ini.

Jelas Keith, usahanya itu mula menampakkan hasil dan bersyukur lakonannya diterima baik dikalangan penonton terutamanya peminat kaum Melayu.

“Ia mungkin antara keputusan terbaik yang pernah saya lakukan kerana ini adalah peluang untuk saya bergerak sendiri dan mengenali industri ini dengan lebih baik tanpa mengharapkan pihak lain,” katanya.

Sementara itu, Keith berkata, dia kini sedang menjalani penggambaran dua buah telemovie berjudul Di Atas Kertas dan Salju Putih yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.