Kau Dah Tahu?

Oleh Ahmad S

Syazlin merasakan latihan kawad pada petang  itu sangat meletihkan. Latihan kawad kaki yang diajar oleh sekumpulan askar-askar pencen itu dirasakan tidak adil. Panas terik dan cuaca kering membuatkannya merasa lebih tersiksa. Setibanya di asrama  Syazlin menanggalkan kasutnya dan terus melabuhkan badan di atas katil.  Dia tidak hiraukan badannya yang berpeluh dan tekaknya yang haus. Dia hanya mahu berehat sebentar. Cermin matanya diletakkan di atas meja sebelah katil. Dilihatnya di atas meja, sebuah komputer riba yang masih terpasang. Cahayanya terang walaupun dibalas hebat oleh cahaya matahari petang dari luar tingkap.

Biarlah.” Bisik hatinya, Syazlin menghembus nafas lega, empuk tilam asrama bagaikan suatu nikmat yang tak terucap oleh kata-kata. . Selang beberapa minit tertidur dia sudah enak dibuai mimpi. Tiba-tiba pintu bilik asrama berkeriuk tanda dibuka. Kedengaran sepasang kaki memasuki bilik. Syazlin yang tersedar secara tiba-tiba membuka matanya sedikit. Sinaran matahari petang yang malap dihalang oleh susuk tubuh yang amat dikenalinya.

Penat berkawad ke?” tanya lembaga  yang baru memasuki bilik itu dengan nada mengejek.

Penat lah. Kau pergi kemana Anis ? Suka-suka sahaja ponteng ko-kurikulum.” Jawab Syazlin, memejamkan semula matanya.

Biasalah. Petang-petang macam ini lebih baik aku pergi jalan-jalan. Pergi kawad kena marah, dapat penat. Pergi jalan-jalan, hilang tekanan.” Jawab Anis sambil memanjat katil bertingkat di atas Syazlin.

Apa-apalah alasan kau. Minggu depan kau menjawab lah dengan askar-askar pencen tu. Laptop tu biarlah terpasang lama-lama, biar meletup lagi bagus.” Kata Syazlin dengan nada sinis.

Mata Syazlin terasa berat semula. Kata-katanya tidak dibalas oleh Anis. Sekali lagi Syazlin memasuki alam mimpi. Keadaan asrama kolej pada petang Jumaat itu pula beransur sunyi.  Hanya pelajar-pelajar tahun satu sahaja yang tinggal, itupun ada yang sudah pulang ke kampung selepas latihan wajib kawad kaki tadi. Senja merah di ufuk barat menandakan malam bakal menjelang tiba. Syazlin masih lagi asyik di buai mimpi indah. Tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Pintunya dibuka luas-luas oleh seorang wanita muda yang siap berpakaian baju kurung  dan bertudung labuh. Di tangan kirinya sebuah beg pakaian dibimbit dengan kemas.

Ya Allah, Syazlin bangun dah masuk waktu maghrib ni!” Tegur wanita muda itu dengan nada sedikit meninggi.

Syazlin yang dari tadi nyenyak diatas katil bangun terkejut.

Kau ni Aisyah, kalau nak kejutkan aku pun, elok-elok lah sikit.” Bebel Syazlin sambil menggosok matanya. Tangan kirinya segera mencapai cermin mata yang terletak diatas meja sebelah katil.

Bangun sayang, intan payung, gunung meletup. Sudah waktu maghrib ni. Selepas maghrib aku nak balik rumah kakak aku.” Kata Aisyah bersahaja. Suaranya dialun-alunkan dengan nada mengejek.

Iya lah. Kau kejutkan Anis sekali. Aku nak pegi ambil wudhuk dulu.”

Syazlin segera keluar dari bilik, segera menuju ke arah bilik air yang hanya beberapa meter dari biliknya. Selesai wudhuk dia segera masuk ke biliknya. Dilihat Aisyah sedang duduk diatas katil sambil membaca majalah.

Mana ada Anis. Kau ni mengigau agaknya.” Kata Aisyah kepada Syazlin, matanya masih lagi menatap majalah.

Eh? Tadi dia ada. Mungkin dah keluar balik. Tak apalah, kita ke surau dulu.” Kata Syazlin sambil melihat komputer riba milik Anis yang sudah terpadam.

Solat Maghrib pada hari ini tidak ramai jemaahnya. Tidak penuh satu saf pun. Selesai solat, Aisyah mempelawa Syazlin untuk menemaninya ke rumah kakaknya. Syazlin menolak, dia berasa segan untuk mengikut Aisyah. Lagipun sebentar lagi Anis akan pulang, dan dia tidak sampai hati untuk membiarkan rakan sebiliknya itu tinggal seorang diri sepanjang hujung minggu.  Selepas bersalaman dengan Aisyah, Syazlin segera meninggalkan surau dan menuju kebilik.

Setelah memasuki biliknya Syazlin terpandang akan Anis yang sedang asyik memandang skrin komputer ribanya.

Buat apa tu?” Tegur Syazlin.

Saja-saja. Tadi masa kau tidur aku keluar, aku ada belikan makanan. Aku letak atas meja sana.” Kata Anis sambil tangannya menekan-nekan papan kekunci.

Terima kasih. Kau tak makan sama.”

Aku dah makan tadi. Kau makan lah.”

Aku kenyang lagi. Aku nak baca novel dulu. Sebentar lagi aku makan.”

Di luar bilik mereka berdua, hanya sunyi dan sepi menemani kegelapan malam. Semua pelajar yang bermastautin di blok mereka telah pulang ke kampung. Hanya lampu susur yang memberikan sedikit cahaya untuk sesiapa yang melalui batas-batasnya.  Jam pula sudah menunjukkan pukul 10:15 malam.

Syazlin yang dari tadi asyik membaca sebuah novel cinta dikejutkan dengan bunyi perutnya sendiri. Dia segera mengambil bungkusan polisterina yang telah diletakkan oleh Anis diatas meja tadi. Syazlin menoleh kearah Anis yang sedari tadi sibuk menekan papan kekunci. Dibukanya perlahan-lahan dan diintai isi didalamnya. Mee goreng mamak sememangnya kesukaan Syazlin.  Dengan tidak membuang masa lagi, Syazlin menikmati mee goreng itu dengan gembira.

Kau tak mahu rasa mee ni ke Anis? Sedap betul.” Pelawa Syazlin, walaupun ia sebenarnya hanya ajak-ajak ayam.

Tak apa. Kejap lagi aku makan lah. Makanan aku dah ada.” Jawab Anis masih lagi memandang skrin komputer ribanya.

Tiba-tiba, telefon bimbit Syazlin berbunyi menandakan satu khidmat pesanan ringkas telah diterimanya. Pantas dia mencapai telefon bimbitnya dan menekan punat baca.

“Syazlin, aku tak balik asrama malam ni.

Tengah hari tadi mak aku datang jemput.

Esok ada kenduri di  kampung.

Kau boleh tolong tutupkan laptop aku tak?

Terima kasih, nanti aku belanja kau mee goreng mamak.

 Lusa aku balik. –Anis 019-6XX XXXX-“

Berkali-kali Syazlin membaca pesanan ringkas itu. Rasa seram sejuk menyelubungi seluruh badannya. Polisterina berisi lebihan mee goreng itu diletakkan perlahan-lahan diatas meja. Pandangannya beralih kearah ‘Anis’ yang dari tadi sibuk menekan papan kekunci. Muka Syazlin pucat lesi, dia tidak tahu apa yang patut dia lakukan. Di tolaknya kerusi perlahan-lahan kebelakang. Dengan berhati-hati Syazlin bangun dan bergerak perlahan menuju ke pintu.

Aik? Dah kenyang ke? Banyak lagi mee tu?” Tegur ‘Anis’ tanpa memandang kearah Syazlin.

Aku…. Aku…. Aku nak pegi ambil air, nak masak. Nanti kejap lagi aku makan lah.” Jawab Syazlin tergagap-gagap.

Nak masak air ke? Atau kau dah tahu?” Kata-kata ‘Anis’ itu bagai merampas segala tenaga dari badan Syazlin. Segalanya jadi malap, Syazlin hampir pitam ketakutan. Kesunyian malam di asrama siswi itu di pecahkan oleh satu jeritan. Namun beberapa detik berlalu dan segalanya menjadi sunyi seperti sediakala. Sunyi dan sepi bagai tiada apa yang berlaku. Kegelapan malam sekali lagi menjadi saksi akan pelbagai kengerian yang tersembunyi didalamnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.