FAM belum terima aduan dakwaan pengadil carut pemain

KUALA LUMPUR 17 Feb.- Jawatankuasa Pengadilan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum menerima aduan rasmi Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) berhubung dakwaan pengadil mengeluarkan perkataan lucah kepada pemain pasukan Bujang Senang pada perlawanan Liga Super menentang Perak, Sabtu lepas.

 

Akhbar tempatan hari ini melaporkan FAS akan menghantar aduan rasmi kepada FAM berikutan tindakan pengadil, Sukri Abdul Rahman yang didakwa menyebut perkataan lucah kepada pemain tengah Sarawak, Joseph Kalang Tie sejurus tamat perlawanan yang menyaksikan skuad Bujang Senang menang 1-0 ke atas Perak di Stadium Negeri, Kuching.

 

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Astaman Abdul Aziz berkata, pihaknya masih belum menerima aduan rasmi daripada FAS, dan FAM tidak boleh mengambil tindakan lanjut berdasarkan laporan akhbar semata-mata.

 

“Kita tidak boleh ambil sebarang tindakan dengan hanya membaca laporan akhbar tanpa mendapat aduan rasmi daripada pasukan terlibat terlebih dulu.

“Namun kita akan melakukan siasatan jika terdapat kes,” katanya ketika dihubungi hari ini. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.