PSS Boleh Gugat Masa Depan Sabah, Ratusan Ribu Anak Bakal Jadi Warganegara – Najib

KIMANIS – Pas Sementara Sabah (PSS) boleh menggugat dan merosakkan masa depan rakyat Sabah kerana pelaksaannya pada Jun ini akan memberi implikasi besar kepada keselamatan dan kewarganegaraan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, pelaksanaan PSS didakwa untuk mengaburi mata rakyat terhadap projek pemberian kad pengenalan (IC) kepada pendatang asing tanpa izin.

“Anak-anak mereka akan dapat kewarganegaraan secara automatik, bererti ratusan ribu anak-anak bakal menjadi warganegara rakyat Sabah dan Malaysia.

“Besar kemungkinan projek pengeluaran kad pengenalan 3.0 akan disambung, ini juga beri implikasi beratus ribu juga bakal mendapat kad pengenalan,” katanya ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dindong, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan PSS bukan untuk memberikan kewarganegaraan kepada pemegang pas berkenaan.

PSS bertujuan menyeragamkan kepelbagaian dokumen yang dimiliki oleh warga asing di Sabah iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang masing-masing dikeluarkan tiga agensi iaitu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Ketua Menteri (JKM) Sabah dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah.

Dalam pada itu, Najib juga mendakwa, pemberian PSS akan membuka pintu masuk negara kepada lebih ramai pendatang asing dari negara jiran, Filipina.

“Kalau mereka lihat begitu mudah memperolehi PSS dan ada juga kebimbangan keselamatan sebab kemungkinan Tanduo 2.0 akan berlaku.

“Penyeludupan masuk kumpulan-kumpulan bersenjata dengan mudah masuk boleh memberi implikasi kepada kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah,” katanya.

Najib juga tidak menolak kemungkinan pemberian PSS akan menyebabkan entik di Sabah khususnya Kadazan Dusun Murut (KDM) akan menjadi kaum minoriti.

“Inilah peluang keemasan sebab kalau kita tolak PH dan Warisan, bererti kita tolak PSS juga.

“Kalau PTI jadi warganegara, automatik dia akan jadi pengundi dan dalam masa tidak lama lagi mereka akan jadi kumpulan dominan dalam politik Sabah ini.

“KDM akan jadi kumpulan minoriti di Sabah. Malah pemegang PSS dibenar masuk ke Semenanjung tidak lebih tempoh sebulan juga ada implikasi nanti,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Open

Close