Isu Salib, Mujahid Minta Jangan Sensasikan & Perlu Bersikap Adil

KUALA LUMPUR: Isu bangunan perumahan yang didakwa memaparkan lambang salib di Jelutong, Pulau Pinang tidak seharusnya disensasikan kerana ia perlu diselesaikan secara berhemah antara pihak pemaju dan kerajaan negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata ini kerana kerajaan negeri terbabit sudah mengambil tindakan manakala Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor juga mengeluarkan maklum balas berkaitan.

“Isu itu membabitkan soal bangunan dan ia jelas adalah urusan kerajaan negeri namun di pihak Kerajaan Persekutuan, tindakan yang mereka (kerajaan Pulau Pinang) ambil dikira sudah mencukupi.

“Jadi, saya nasihatkan kepada semua pihak supaya jangan sensasikan isu terbabit hingga membawa perkara-perkara lain yang boleh menimbulkan kepada kebencian.

“Kita kena berlaku adil dan pihak pemaju juga perlu sensitif dengan isu-isu berkaitan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Ekonomi dan Pengimarahan Masjid Wilayah Persekutuan serta program Masjid Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat ( RAHMAH) di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Mujahid mengulas mengenai perkembangan isu bangunan perumahan, Grace Residence, di Jelutong yang didakwa memaparkan gambar salib hingga menjadi kontroversi dan tular di media sosial.

Dalam maklum balas terhadap kontroversi itu, kerajaan Pulau Pinang sebelum ini menyatakan bahawa mereka sedang menunggu maklum balas daripada pihak pemaju.

Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, pihaknya juga sedang menunggu Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus melengkapkan laporan berhubung isu berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri beranggapan bahawa pemaju bangunan terbabit maklum mengenai penularan gambar terbabit di media sosial dan berharap mereka tampil memberi penjelasan mengenainya.

“Saya percaya ia adalah projek pangsapuri belum siap, selain difahamkan CCC (sijil perakuan siap dan pematuhan) bangunan terbabit masih belum diperolehi.

“Kontraktor mungkin dalam proses uji kemudahan, termasuk lampu dan kita masih belum dapat penjelasan pemaju mengapa kenapa lampu itu sebegitu rupanya.

“Saya percaya ia bukan bangunan rumah ibadat, sebaliknya untuk dihuni,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.