Gelaran ‘Dewi Remaja’ Milik Haneesya Hanee Ditarik Balik

KUALA LUMPUR – Susulan penularan video kontroversi membabitkan juara Dewi Remaja, Haneesya Hanee baru-baru ini, pemilik jenama program realiti tersebut, Nu Ideaktiv mengumumkan penarikan semula takhta kejuaraan milik gadis tersebut.

Dalam satu sidang media di pejabat Nu Ideaktiv di Shah Alam hari ini, Editor Majalah Remaja, Faiz Aimman berkata, keputusan itu dilakukan selepas pihak pengurusan melakukan siasatan mendalam dan mendapati Haneesya telah melanggar syarat penyertaaan.

“Sebagai pemilik dan penganjur, kami menzahirkan rasa sedih atas apa yang telah terjadi. Namun pada masa yang sama, para peserta Dewi Remaja sudah sedia maklum akan syarat penyertaan seperti yang telah dinyatakan di dalam kontrak yang mereka tanda tangani di mana mereka tidak boleh mempamerkan perlakuan tidak senonoh di khalayak ramai,” katanya semasa sidang akhbar.

Menurut Faiz Aimman lagi, dengan penarikan gelaran tersebut, Haneesya bersama dua lagi finalis pencarian Dewi Remaja 2018/2019 iaitu Faizni Fazreen Fazeera Faizul dan Erni Nurshahira Khairul Nizam tidak dibenarkan menggunakan gelaran ‘finalis Dewi Remaja’ bagi sebarang aktiviti seni mereka pada masa akan datang.

Dengan keputusan tersebut bermakna tahun ini tiada penyandang gelaran Dewi Remaja 2018/2019.

Sementara itu penyandang naib juara, Tia Sarah masih kekal sebagai pemenang tempat kedua Dewi Remaja 2018/2019.

“Secara jelas, tiada pemenang untuk edisi kali ini. Tia Sarah masih kekal di tempat kedua dan Sherin Amiri di tempat ketiga.

“Sementara itu, Aween Ismail masih kekal sebagai Dewi Inspirasi dan Arena Iman pula menyandang gelaran Dewi Favorite.

“Tiada sesiapa daripada mereka yang akan menggantikan atau menyandang gelaran tersebut kerana status itu telah jelas milik Haneesya.

“Tetapi, berikutan insiden yang berlaku, kami mengambil pendirian untuk tidak meletakkan mana-mana pemenang gelaran lain sebagai pengganti bagi mengisi kekosongan berkenaan,” kata Faiz.

Sementara itu, turut diperjelaskan bahawa video tular berkenaan berlaku sebelum pertandingan akhir berlangsung iaitu hampir sebulan sebelum malam episod Dewi Remaja 2018/2019 berlangsung.

“Pada malam kemenangan itu, individu yang terlibat berada di rumah bersama keluarga.

“Apapun, pihak kami memuji tindakan Haneesya yang mempunyai keberanian dengan tampil secara profesional demi memperbetulkan keadaan.

“Kami tetap menyokong perjalanannya dalam apa sahaja yang dilakukan selepas ini,” tambah Faiz.

Turut berlangsung, sesi penyerahan semula replika cek, trofi, sash dan tiara Dewi Remaja 2018/2019 kembali kepada pihak Nu Ideaktiv.

Terdahulu video mirip Haneesya bersama beberapa finalis program tersebut meminum minuman keras di sebuah kelab malam tersebar.

Susulan itu netizen mendesak agar gelaran Dewi Remaja yang baru dimenangi Haneesya pada Ahad lalu ditarik balik kerana mendakwa gadis tersebut tidak layak menjadi ikon kerana membawa pengaruh negatif. -SuaraTv

One thought on “Gelaran ‘Dewi Remaja’ Milik Haneesya Hanee Ditarik Balik

  • January 22, 2019 at 11:47 am
    Permalink

    Ikon yg tidak wajib buat tauladan?? Haprak ..sedih kecewa tk terfikir ke dlm hati awak?? Remaja tk cukup akal??? Off dia dari media atau apa2 anjuran banned dari media elektronik??

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.