Ular Sawa ‘Menyorok’ Dalam Enjin

KOTA BHARU – Terkejut sebaik dimaklumkan seekor ular sawa sepanjang tiga meter yang keluar dari semak menuju ke bawah kereta miliknya, seorang lelaki bertindak cuba untuk menangkapnya, pagi tadi.

Bagaimanapun usaha pemilik kereta jenis Perodua Kelisa itu gagal kerana reptilia seberat 30 kilogram berkenaan ‘hilang’ di bawah kereta terbabit menyebabkan dia memberanikan diri membuka bonet bahagian hadapan kereta.

Sebaik dibuka, pemilik kereta yang berusia 30 tahun itu terkejut apabila melihat ular sawa berkenaan berada di bahagian enjin terbabit dan mungkin berasa diancam, reptilia itu masuk ke bahagian yang lebih sempit menyebabkan ia sukar dikeluarkan.

Dalam kejadian di Jalan Hamzah, kira-kira jam 4.30 pagi, mangsa terus menghubungi pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan, lapor BH

Pegawai Pengurusan Latihan dan Pegawai Bencana di peringkat Pusat Kawalan Operasi Daerah APM Kota Bharu, Leftenan Pertahanan Awam, Mohd Safiyan Ibrahim, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 4.36 pagi dan tiga anggota tiba ke lokasi lapan minit kemudian.

“Anggota kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan ular sawa terbabit dan tempoh itu agak lama memandangkan haiwan berkenaan berada di ruang sempit iaitu di celah enjin kenderaan.

“Ular sawa itu kemudiannya dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah, Tunjong sebelum diserahkan ke pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN),” katanya.

Bantuan turut dihulurkan oleh enam anggota dari Kelab Comunity Policing Kota Bharu yang kebetulan membuat rondaan di kawasan terbabit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.