‘Selamat Tinggal’ Buat Calon BN Gagal Tapisan Integriti

Ketika ditanya nasib calon yang tidak menepati tapisan integriti yang ditetapkan, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas timbalan presiden berkata, “Kita ucapkan selamat tinggal.”

Beliau berkata bahagian, perhubungan negeri dan pengerusi parti- parti komponen BN telah mengemukakan lebih daripada tiga nama calon yang boleh dijadikan calon gantian bagi mereka yang tidak melepasi tapisan.

“Kita juga mempunyai calon-calon simpanan yang kita lakukan ujian dari segi penerimaan masyarakat untuk mengundi di tempat itu dan daya kemenangan,” katanya.

Selain tapisan integriti terhadap calon, Ahmad Zahid berkata, BN juga sedang melaksanakan tapisan laporan kesihatan calon supaya pilihan raya kecil tidak berlaku dalam waktu singkat selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Terdahulu dalam ucapannya Ahmad Zahid mengingatkan penjawat awam supaya sentiasa mempertahankan nama baik perkhidmatan, teguh dengan prinsip integriti dan menolak rasuah serta tegas menentang salah guna kuasa yang boleh mengakibatkan ketirisan hasil negara.

Beliau berkata tahap integriti penjawat awam perlu sentiasa dinilai dan dipantau melalui satu kaedah sistematik bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap usaha kerajaan menjadikan pentadbiran dan pengurusan negara yang telus dan berintegriti.

Katanya, usaha Institut Integriti Malaysia dan MIMOS Berhad memperkenalkan instrumen penilaian integriti individu (Profil Integriti Malaysia) bagi menyediakan profil integriti penjawat awam adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan menjadikan integriti sebagai aspirasi utama negara terutama dalam merancang pembangunan negara ke arah Transformasi Nasional 2050.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.