Parti Pembangkang Sabah Enggan Maafkan Mahathir

KUALA LUMPUR – Seruan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Shafie Apdhal yang menggesa rakyat Sabah memaafkan Tun Dr Mahathir Mohamad ditolak oleh parti pembangkang tempatan di negeri itu.

Memetik laporan FreeMalaysiaToday, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Jeffrey Kitingan berkata sukar bagi rakyat Sabah melupakan apa yang berlaku selama 22 tahun pemerintahan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Beliau hanya berjuang untuk menyingkir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Saya tak percaya kata-katanya.

“Bagi Dr Mahathir, hak Sabah cuma sementara dan tanah negeri ini patut dimiliki kerajaan persekutuan.

“Hanya Tuhan yang boleh memaafkan, kerana kami rakyat Sabah tidak boleh melupakan apa yang telah berlaku,” katanya.

Pendirian Jeffrey itu dipercayai berkaitan dakwaan penglibatan Pengerusi PPBM itu dalam skandal Projek IC yang pernah menggemparkan politik Sabah tidak lama dulu, lapor portal berkenaan.

Bagi Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee pula, kenyataan Shafie itu seperti menunjukkan beliau percaya Dr Mahathir ada melakukan kesalahan terhadap rakyat Sabah.

“Kalau tidak, Shafie tidak akan bercakap begitu. Saya ingin tahu apakah yang Shafie rasakan kesilapan dan kesalahan yang perlu rakyat Sabah maafkan itu,” kata Yong dipetik dari portal tersebut.

Sementara itu, aktivis politik yang juga Pengerusi Sabah Firstborn Society, Zainnal Ajamain berkata seruan Ahli Parlimen Samporna itu dilihat boleh menjejaskan sokongan rakyat Sabah terhadap parti Warisan yang diketuainya.

“Tambahan pula, kalau PH bertegas memilih Dr Mahathir, jangan salahkan rakyat Sabah dan Sarawak kalau mereka tewas di Sabah dan Sarawak pada PRU14,” katanya. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.