Jangan Perkecil Peranan dan Tugas Anggota RELA

ARAU – Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Azlan Man membidas Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ekoran memperlekehkan peranan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Sambil menyifatkan ia sebagai tidak wajar dan keterlaluan, Azlan berkata Shafie pernah menjadi menteri sepatutnya tahu tugas Rela bukan sekadar hanya menjaga trafik ketika kenduri sebaliknya mereka sebahagian daripada komponen pasukan keselamatan negara.

Beliau yang dipetik Utusan Malaysia berkata, selain itu, anggota RELA ini juga dilihat mempunyai pengalaman dan terlatih sekiranya diberi tugas membantu mengawal keselamatan negara.

“Kita tidak boleh memperkecilkan peranan RELA dan saya yakin KDN (Kementerian Dalam Negeri) telah memikirkan apa sebenarnya tugas yang boleh dimainkan Rela sekiranya ditempatkan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

“Tugas mereka di sana (Esszone) nanti bukan hanya tertumpu kepada menggunakan senjata api semata-mata kerana aspek keselamatan ini adalah meluas.

“Kita ada pengkhususan masing-masing di mana tentera ada peranannya, polis ada peranannya begitu juga RELA,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Mohd. Shafie yang mempersoalkan kewibawaan anggota RELA yang ditugaskan membantu tugas pemantauan keselamatan di Esszone selain memperlekehkan peranan jabatan tersebut apabila menyifatkan pasukan beruniform itu hanya pandai menjaga trafik ketika kenduri.

Pada Disember lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, seramai 500 anggota RELA ditugaskan membantu pemantauan keselamatan di Esszone bermula bulan ini.

Ahmad Zahid berkata, langkah mengatur penugasan anggota RELA itu penting bagi menentukan soal keselamatan bukan sahaja di Esszone tetapi di seluruh Sabah dalam keadaan terkawal. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.