‘Ingatkan Budak Main Mercun’

KUALA LIPIS – Disangka bunyi mercun rupanya tanah runtuh. Itu pengalaman yang dikongsi oleh penduduk Orang Asli Pos Pantos ketika menceritakan detik cemas kejadian tanah runtuh yang berlaku di padang Sekolah Kebangsaaan (SK) Lanai di sini, Ahad lalu.

Kejadian kira-kira jam 1.50 petang itu menyebabkan berlaku rekahan tanah lebih 50 meter serta mengakibatkan tebing runtuh, lapor Sinar

Selain itu longkang serta pagar yang mengelilingi padang sekolah itu juga mengalami kerosakan teruk akibat runtuhan tanah terbabit.

Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SK Lanai, Tuny a/l Amir berkata, dia menerima maklumat kejadian itu setelah dimaklumkan oleh anaknya serta penduduk kampung yang melihat berlaku gerakan tanah di bahagian tebing serta padang sekolah.

Tuny yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah berkenaan berkata, pada sebelah pagi hari kejadian dia ada melakukan rondaan di sekitar sekolah namun tidak nampak sebarang kejadian pelik berlaku.

“Saya bekerja waktu pagi dan jam 1 tengah hari saya rehat, tinggal dua pengawal perempuan yang bertugas. Saya kira kejadian ni berlaku sekitar jam 1.50 tengah hari sebab masa tu saya balik rumah untuk makan serta mandi sekejap.

“Kebetulan masa tu anak saya yang kerja kat kedai bawah beritahu…‘Abah, pagar sekolah tu runtuh’, jadi saya pun terkejutlah, terus pergi ikut jalan bawah dan tengok memang betul-betul runtuh,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Ahmad Subir menunjukkan rekahan besar yang berlaku di padang sekolah berkenaan.
Pagar runtuh, pokok bergegar

Tuny berkata, terdapat seorang penduduk yang sedang dalam perjalanan dari kampung berdekatan untuk pulang ke rumah terlihat pagar sekolah berkenaan runtuh secara tiba-tiba.

Menurutnya, penduduk tersebut juga melihat anak-anak pokok di sebelah bawah tebing bergoyang sebelum dia bertindak memberhentikan motosikal serta mendekati kawasan tersebut.

“Penduduk tu terkejut bila lihat tanah bergerak ke bawah. Dia pun bergegas cari saya tapi kebetulan saya rehat, dia beritahu kejadian tu pada pengawal perempuan yang bertugas,” katanya.

Dia berkata, terdapat juga seorang guru yang sedang membuat kolam hiasan bersebelahan dengan pejabat mendengar bunyi seolah-olah pintu ditutup dengan kuat.

“Cikgu tu kata bunyinya ‘guppp…’. Saya kat rumah pun dengar juga bunyi tu tapi tak sangka pula tanah runtuh. Kita ingatkan budak-budak kat sini main mercun sebab mereka suka main mercun bola,” katanya.

Tambahnya, ekoran keadaan padang yang tidak selamat itu menyebabkan 210 murid sekolah itu tidak dapat menjalani aktiviti dan latihan sukan.

Selain itu katanya, padang sekolah yang boleh memuatkan lebih 500 orang itu juga sering digunakan oleh penduduk kampung untuk penganjuran sesebuah program.

“Jadi sebagai YDP PIBG sekolah ni mengharapkan agar pihak berwajib ambil tindakan segera dengan membaik pulih tanah runtuh itu kerana ia menyukarkan kami buat sebarang bentuk aktiviti,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.