Ikan Buntal Cetus Sistem Amaran Bencana

Tokyo – Sebuah bandar di Jepun mengaktifkan sistem amaran bencana bagi memberi amaran kepada penduduk supaya tidak memakan ikan buntal selepas kesilapan menyebabkan bahagian bertoksik ikan itu dijual.

Menurut Agensi lapor Metro, sebuah pasar raya di Gamagori, tengah Jepun menjual lima bungkusan ikan buntal tanpa mengeluarkan hati yang mengandungi racun yang boleh membawa maut.

Seorang pegawai tempatan, Koji Takayanagi berkata, tiga bungkusan ikan buntal itu sudah dikesan sementara dua lagi belum ditemui.

“Kami memberi amaran kepada penduduk untuk mengelak memakan ikan buntal menggunakan sistem tanpa wayar kecemasan Gamagori yang disiarkan menerusi pembesar suara di seluruh bandar ini.

“Tiga bungkusan sudah ditemui hari ini (semalam), tetapi kami masih belum mengetahui di mana yang dua lagi berada,” katanya.

Ikan buntal antara makanan musim sejuk yang mahal di Jepun dan sering dihidangkan sebagai sashimi atau sup panas.

Bagaimanapun, kulit serta bahagian dalaman ikan itu mengandungi racun dipanggil tetrodotoxin yang boleh membawa maut.

Bahagian dalaman ikan itu yang mengandungi racun berbisa berbeza mengikut jenis ikan buntal.

Cef di Jepun perlu mendapatkan permit khas untuk menyediakan ikan terbabit.

Menurut kementerian kesihatan, beberapa orang mati di Jepun setiap tahun kerana cara menyediakan ikan itu yang salah dengan puluhan lagi menderita akibat kesan sampingan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.