Hubungan Kami Baik-Baik Saja: Sufian Suhaimi

SERI KEMBANGAN: Penyanyi Sufian Suhaimi, menafikan dakwaan kononnya hubungannya dengan tunang, Elfira Loy, kini dilanda badai.

Sufian, 26, bagaimanapun mengakui berdepan masalah komunikasi dengan pelakon wanita itu disebabkan masing-masing jarang bertemu.

“Hubungan kami baik-baik saja. Cuma saya akui kami memang jarang bertemu disebabkan sibuk dengan komitmen kerja, selain mengikut pesanan orang tua supaya tidak kerap berjumpa.

“Apabila lama tak jumpa, barulah perasaan rindu makin menebal. Walaupun sibuk, masing-masing tetap berhubung menerusi telefon,” katanya ketika ditemui BH Online pada sidang media Program Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), di sini hari ini.

Penyanyi lagu Terakhir ini antara artis yang bakal mengadakan persembahan pada program terbabit di MAEPS Serdang, 24 dan 25 Februari depan.

Mengenai tarikh perkahwinan mereka yang sepatutnya berlangsung pada Mac depan seperti dirancang, Sufian berkata, perkara itu belum diputuskan.

“Keputusan mengenai majlis perkahwinan bukan terletak di tangan kami berdua, tetapi turut membabitkan keluarga kedua-dua belah pihak.

” Kami tidak boleh mementingkan diri sendiri semata-mata. Apapun, kami akan berkahwin pada tahun ini juga,” katanya.

Terdahulu, Elfira dalam temubual bersama media sebelum ini memberitahu, pertunangannya dengan Sufian berdepan dugaan. Katanya, dugaan itu bukannya datang daripada mereka, sebaliknya orang sekeliling.

Pasangan selebriti ini mengikat tali pertunangan pada 6 Oktober lalu selepas lapan bulan berkenalan.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.