Guna Khidmat Komposer Baru

Selepas memenangi tempat kedua program Gegar Vaganza musim kedua, penyanyi dan pelakon Farahdhiya menganggap ia platform terbaik untuk mengukuhkan nama dalam bidang nyanyian.

Menurut pemilik nama sebenar, Farahdhiya Mohamed Amin, 33, ini, undangan persembahan juga tidak pernah putus ketika ini.

“Alhamdulillah, rezeki tidak pernah putus sejak 13 tahun berkecimpung dalam bidang seni tanah air.

“Lebih bermakna, ramai pihak yang mula membuka mata dengan bakat sebenar saya dalam bidang nyanyian. Saya juga tidak akan berhenti menampilkan produk dan lagu yang bagus untuk peminat setia yang menyokong sejak dulu,” katanya.

Terbaru, penyanyi yang popular dengan lagu Bertakhta Di Hati ini bakal muncul dengan single terbarunya tahun ini.

“Insya-Allah, saya dijangka merakamkan single baru di studio pada hujung bulan ini. Jika semuanya berjalan lancar, single baru ini akan dilancarkan bulan depan,”katanya.

Bercerita mengenai konsep single terbaru ini, kata Farahdhiya, dia akan tampilkan kelainan.

“Selalunya, saya akan keluar dengan lagu genre balada, tapi kali ini berbeza. Saya juga pernah menyanyikan lagu pop dan ‘upbeat’ sebelum ini seperti album pertama dulu.

“Kali ini, saya pertaruhkan lagu yang ‘upbeat’, ‘catchy’ dan menghiburkan,”katanya.

Mengulas terperinci mengenai single baru itu, Farahdhiya berkata, dia juga menggunakan khidmat komposer baru yang belum dikenali lagi.

“Selain komposer baru, saya juga menggunakan khidmat penulis lirik baru untuk tampilkan lagu yang lebih segar.

“Dari segi edaran pula, ia masih dalam perbincangan dan belum diputuskan lagi,”katanya.

Pada masa sama, kata Farahdhiya, dia menaruh harapan single barunya itu mendapat sambutan hangat peminat.

“Ramai peminat tahu saya masih aktif menyanyi kerana sentiasa beritahu perkembangan karier seni menerusi Instagram.

“Sebagai penyanyi, saya perlu ada single baru khusus untuk peminat sekali gus memeriahkan lagi industri muzik tanah air,”katanya.

Selektif dengan lakonan

Selain menyanyi, Farahdhiya juga menceburi bidang lakonan yang juga periuk nasinya sejak dulu.

“Tawaran berlakon masih ada, tetapi saya perlu lebih selektif kerana tidak mahu bertindih dengan jadual nyanyian.

“Undangan persembahan terutama pihak korporat sangat memberansangkan sebab itu saya utamakan karier nyanyian dulu,”katanya.

Farahdhiya berkata, dia baru selesai penggambaran sitkom 50 episod berjudul Mamu Mami Gosip terbitan FS Creative Sdn Bhd.

Sitkom arahan Aizam Syamsul itu dibintangi pelakon seperti Fasha Sandha, Afifah Nasir, Elisya Sandha, Fikhree Bakar dan Tauke Jambu.

“Saya hanya menjadi pelakon undangan dalam sitkom ini. Penggambaran sitkom itu berlangsung pada 19 Disember lalu,” katanya.

Ia menampilkan pelakon undangan seperti Saharul Ridzwan, Zahirah McWilson, Anzalna Nasir, Jasmin Hamid, Abam Bochey dan ramai lagi.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.