Denda RM1,000 atau Penjara 6 Bulan Jika Ponteng Solat Jumaat

KUALA PILAH — Pejabat Agama Islam Kuala Pilah bakal mengambil tindakan tegas kepada umat Islam yang meninggalkan solat Jumaat.

Pegawainya berkata denda RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan boleh dikenakan seperti termaktub dalam Seksyen 113 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.

“Tindakan itu diambil susulan aduan yang diterima daripada kariah di sini yang mendakwa terdapat lelaki Islam yang berada di luar masjid dan berkeliaran di premis perniagaan serta tempat awam ketika solat Jumaat.

“Ia dilihat mencemarkan imej agama Islam sendiri selain mencerminkan sikap kurang ambil peduli mengenai hukum,” kata Mohd Raizalani Mohd Rais kepada Harian Metro.

Beliau berkata lelaki baligh di daerah itu yang tidak menunaikan solat Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa uzur syarie boleh dikenakan tindakan.

Katanya, surat pekeliling kepada 68 masjid sudah dikeluarkan awal bulan ini bagi memaklumkan perkara tersebut.

“Kita meminta pihak pengurusan masjid di daerah ini membuat hebahan dan edaran kepada ahli kariah semasa solat Jumaat dan menampal pekeliling di papan kenyataan,” katanya. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.