Habuan Kedah Buat Faiz Subri

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) mengumumkan pemberian insentif berjumlah RM20,000 kepada pemain tengah Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri.

 

Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, insentif tersebut diberikan sebagai penghargaan selepas Mohd Faiz yang merupakan anak kelahiran Ayer Hitam, Jerlun berjaya mengharumkan nama ne­geri dan negara di pe­ringkat antarabangsa, petik Kosmo.

 

Selain itu, menurutnya, KFA juga ingin memberi sumbangan lain yang di­perlukan Mohd Faiz se­perti tawaran istimewa harga rumah yang diba­ngunkan pemaju-pemaju perumahan di negeri itu bagi membantu meringankan beban pemain muda itu membeli rumah.

 

 

“Kita hargai apa yang dicapai Mohd. Faiz, walaupun dia tak bermain untuk Kedah tetapi dia sebagai anak kelahiran Kedah berjaya membawa nama ne­geri ini di persada dunia,” katanya.

 

 

Malah katanya, beliau sebelum ini juga telah mengumumkan pemain muda itu juga akan dikurniakan Bintang Sema­ngat Jerai (BSJ) sempena sambutan ulang tahun Keputeraan Sultan Kedah ke-89 yang bermula Sabtu lalu.

 

 

Terdahulu, Mohd Faiz mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama dikurniakan anugerah itu sempena nama legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas.

 

 

Pemain berusia 30 tahun itu mengetepikan dua lagi finalis, Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wa­nita Venezuela, Daniuska Rodriguez untuk meraih anugerah berkenaan.

 

Mohd. Faiz sebelum ini menerima insentif daripada Kementerian Belia dan Sukan berjumlah RM100,000, kerajaan Pulau Pinang sebanyak RM50,000 dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pula RM50,000.

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.