Tegar Buta Huruf, Tahu Membaca Selepas Upah Guru Dari Hasil Nyanyian

Kuala Lumpur – Penyanyi cilik dari Indonesia iaitu Tegar yang selama ini buta huruf sudah tahu membaca gara-gara usahanya mengupah seorang guru untuk mengajarnya di rumah hasil wang nyanyian.

 

Tegar atau nama sebenarnya Tegar Septian, 14, berkata, atas bimbingan gurunya itu, dia bersyukur sudah kenal huruf yang dapat mengubah tanggapannya selama ini dia mungkin tidak tahu membaca selama-lamanya.

 

“Saya sudah tahu membaca. Semuanya atas asuhan guru yang mengajar saya selama ini. Waktu pelajaran saya ialah enam hari seminggu,” katanya kepada mStar Online.

 

Tegar berkata, jika dia tidak bergelar penyanyi seperti hari ini, mungkin usaha untuk menjadi seperti orang lain tidak akan terlaksana.

 

Ini kerana wang yang diperoleh hasil melakukan persembahan dan jualan album digunakan untuk menambahkan ilmu pengetahuan selain membantu keluarga.

 

Tambah Tegar lagi, lebih bermakna ibu-bapanya juga ketika ini sudah mampu hidup senang dan selesa.

 

Dia juga sudah memiliki rumah yang lebih sempurna di Kampung Pengaden, Subang, Jawa Barat yang didiami oleh keluarganya selain menyediakan sebidang tanah untuk mereka melakukan kerja-kerja pertanian.

 

“Alhamdulillah… saya juga sudah mampu mempunyai rumah yang selesa dan juga tanah untuk keluarga saya bertani. Saya belikan mereka tiga buah motosikal. Semuanya hasil wang daripada bidang nyanyian saya,” katanya.

 

Tegar yang popular dengan lagu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang berkata, ketika ini banyak masanya dihabiskan di Malaysia dan Singapura untuk mempromosikan dirinya selain terlibat dengan aktiviti yang dianjurkan.

 

Ditanya dalam usia remaja ini adakah dia mempunyai peminat yang luar biasa khususnya di kalangan anak-anak gadis Tegar berkata, perkara itu tidak dapat dielakkan.

 

“Ya… mana-mana pergi pun ramai orang macam sukakan saya,” katanya yang menganggap ia sebahagian dariapda cabaran sebagai penyanyi.

 

Ditanya lagi adakah dia mempunyai sesorang gadis yang dicintai, Tegar tersipu-sipu malu dan enggan menjawab soalan itu.

 

“Hihi… ada… ehhh… tidak…” katanya bergurau. – mStar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.