Sukarelawan Dan Mangsa Banjir Diingatkan Tentang Bahayanya Jangkitan Kencing Tikus

Kuala Lumpur –  Timbalan Menteri di Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Hilmi Yahya memberi peringatan kepada penduduk dan sukarelawan di Kelantan mengenai bahaya jangkitan kencing tikus atau leptospirosis yang semakin menular selepas banjir besar bulan lepas.

 

Menurut Dr Hilmi, sebelum banjir melanda, sekitar 20 hingga 25 kes direkodkan, tetapi selepas banjir, jumlah meningkat sehingga 94 kes.

 

“Sehingga bulan ini sahaja sebanyak 94 kes kencing tikus dilaporkan dan ini sesuatu yang membimbangkan kerana penyakit itu berbahaya.

 

“Jadi pihak kementerian menasihatkan orang ramai khususnya rakyat Kelantan dan sukarelawan agar lebih berhati-hati dan mereka dinasihatkan jangan menggunakan air dari sumber yang tidak bersih,” jelasnya, lapor Bernama.

 

Beliau menjelaskan, mereka yang terkena jangkitan akan menghidapi demam panas, sakit kepala yang teruk, menggigil, muntah, batuk, mata menjadi merah, sakit perut, cirit birit dan sakit otot terutama betis mirip kesan penyakit saluran pernafasan, demam denggi dan demam kepialu.

 

“Penyakit ini boleh dirawat dengan antibiotik sekiranya hanya jangkitan ringan manakala kes yang teruk perlu dirawat di hospital kerana boleh mengakibatkan kerosakan pelbagai anggota dalaman badan seperti kegagalan buah pinggang, hati dan sistem pernafasan sehingga membawa kepada kematian,” katanya.

 

Dr Hilmi turut menasihatkan penduduk atau sukarelawan yang mempunyai kesan luka pada tangan, kaki atau anggota badan agar membalutnya dan jangan mendedahkan luka itu kepada kawasan berair yang tahap kebersihannya tidak dapat dipastikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.