Spiderman Kantoi

SERDANG – Niat jahat seorang lelaki berlagak ‘spider-man’ mahu memecah masuk rumah mangsanya di Taman Kinrara di sini terbantut apabila dia terlebih dahulu dicekup polis, lewat malam kelmarin.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam, suspek memanjat rumah teres satu tingkat dan cuba untuk masuk melalui bumbung.

 

Sumber berkata, tindak-tanduk suspek disedari pemilik rumah yang terdengar bunyi pergerakan di atas bumbung rumahnya.

 

Mangsa melihat suspek leka membuka atap rumahnya untuk membolosi masuk melalui ruang siling.

 

Tanpa berlengah, mangsa segara menghubungi balai polis untuk membuat laporan.

 

Suspek yang menyedari perbuatannya berjaya dihidu pemilik rumah terjun dari atas bumbung dan bersembunyi di bahagian belakang rumah mangsa.

 

Bertindak atas laporan, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian beberapa minit kemudian.

 

“Mangsa menunjukkan di mana suspek bersembunyi yang seterusnya berjaya diberkas polis,” katanya.

 

Hasil pemeriksaan, suspek berusia 34 tahun dan beralamat di Ampang itu mempunyai enam rekod jenayah lampau.

 

Ia termasuk bersabit kes samun dan pernah beberapa kali dihukum kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya.

 

Pemeriksaan selanjutnya menemukan polis dengan sebuah beg hitam di pinggang suspek berisi peralatan dipercayai untuk melakukan jenayah pecah rumah.

 

“Barang rampasan termasuk pemutar skru, sepana, playar, dua utas jam tangan, lima telefon bimbit dan suspek di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.