Samakan Banjir Di Kelantan Dengan Tsunami Adalah Tidak Berasas – Kit Siang

Kuala Lumpur – Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, bencana banjir di Kelantan yang menyebabkan suku juta mangsa dipindahkan tidak seharusnya dibandingkan dengan bencana yang melanda laut Jepun pada 11 Mac 2011.

 

Menurut beliau, tindakan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Thajudeen Abdul Wahab membandingkan bencana di Kelantan seakan-akan sama dengan bencana di Jepun merupakan tindakan yang tidak berasas.

 

Katanya, MKN kini sedang mencari alasan untuk mewajarkan kelemahan, kelengahan dan kegagalannya dengan membuat dakwaan melampau kononnya banjir di Kelantan seakan-akan tsunami yang melanda Jepun pada tahun 2011.

 

“Sukar saya bayangkan bagaimana keadaannya jika Malaysia dilanda bencana alam sepertimana yang terjadi di Jepun pada bulan Mac 2011,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Jelas Kit Siang, Thajudeen dilihat lebih berminat mancari alasan bagi menutup kelemahan pihak mereka terutamanya kegagalan untuk mengisytiharkan darurat dan komen yang kurang memuaskan terhadap bencana banjir 2014.

 

Katanya, Thajudeen menjadikan alasan lumpuhnya rataian arahan komunikasi menyebabkan pihak mereka tidak boleh mengarah pegawainya untuk turun membantu mangsa banjir di Kelantan.

 

“Kalaupun saya ada 50 atau 100 pegawai di sana, jika saya suruh semua orang dari seluruh negara untuk turun ke Kota Bharu, tetapi kalau tak boleh berkomunikasi dengan mereka di sana, apa yang boleh kita lakukan?” Kit Siang memetik kata-kata Thajudeen.

 

Pada masa sama, beliau berkata, hampir empat minggu tragedi banjir berlalu namun bantuan fasa ketiga membina semula pasca banjir masih lagi tidak kelihatan, malah kerja-kerja pembersihan yang dilakukan sangat perlahan dan menghampakan.

 

“Kerajaan Persekutuan sepatutnya mengisytiharkan darurat ke atas kawasan-kawasan yang paling teruk terjejas akibat banjir dan mengerahkan anggota tentera dan semua aset yang mungkin untuk melakukan pembersihan segera bagi menghindar merebaknya wabak penyakit.

 

“Kedua, pembinaan semula Kuala Krai dan yang lainnya mestilah bukan dengan cara kontraktor kroni menipu Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan kontrak. Kerajaan, di setiap peringkat, dan juga NGO, wajar meletakkan penekanan kepada mewujudkan pekerjaan sementara bagi penduduk tempatan dalam usaha pembinaan semula,” ujarnya.

 

Sehubungan itu, MKN perlu bertindak dengan segera terutamaya memulihkan kembali infrastruktur pasca banjir memandangkan keadaan masih lagi belum mencapai tahap yang memuaskan.

 

“Inilah sebabnya kenapa saya menggesa supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk melakukan kajian komprehensif bagi memastikan kelemahan-kelemahan, kelembapan dan kegagalan yang begitu teruk dalam persiapan menguruskan bencana, mitigasi dan bantuan bencana akan menjadi pengajaran di masa akan datang,” katanya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.