Pembangkang Tidak Rasional, Ketengahkan Pelbagai Isu Sebagai Bahan Politik – Tengku Adnan

Kuala Lumpur – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menganggap pakatan pembangkang tidak bersikap rasional dalam mengetengahkan pelbagai isu sebagai bahan politik mereka.

 

Katanya, pakatan pembangkang menggunakan apa-apa sahaja perkara yang boleh mendatangkan keuntungan kepada mereka tanpa memikirkan soal keselamatan dan kesejahteraan negara termasuklah mengambil kesempatan atas kesusahan rakyat.

 

“Matlamat pembangkang di negara ini adalah untuk menjatuhkan kerajaan dengan memburukkan pelbagai dasar dan agenda yang dibuat biarpun ia secara nyata memberi keuntungan kepada rakyat termasuklah mereka sendiri,” katanya.

 

Dalam hal ini beliau mengambil contoh bagaimana pakatan pembangkang memanipulasikan isu kenaikan harga minyak tahun lalu dan kemudiannya apabila harga terbabit turun maka mereka jadikan harga barang pula untuk menyerang kerajaan selain bencana banjir yang berlaku turut dipolemikkan sebagaimana kononnya bantuan lambat tiba, jumlah nahas yang terlibat diada-adakan dan juga pelbagai sekatan lain.

 

“Ini semua dibuat untuk kepentingan politik mereka sendiri dan sekarang ini taktiknya ialah dengan mewujudkan pertelingkahan sesama anggota dalam kerajaan agar berlaku perpecahan dan dalam masa yang sama mereka akan menyelinap untuk mengelirukan rakyat,” tegasnya.

 

Kunjungan Hormat

 

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat dari Timbalan Ketua Diplomatik Amerika Syarikat, Edgard Kagan di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn hari ini.

 

“Dalam keadaan rakyat berdepan dengan musibah banjir pun pakatan pembangkang mengambil kesempatan dengan membuat macam-macam manipulasi dan tohmahan termasuklah memburukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib yang telah bertungkus-lumus turun padang melihat dan meninjau sendiri keadaan mangsa banjir,” katanya.

 

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN turut menegaskan bahawa BN selaku tunjang kerajaan sentiasa berusaha mengekalkan kuasa sebagai tampuk kerajaan bukan semata-mata kerana kedudukan dan pangkat sebaliknya ia adalah tanggungjawab sebagai kerajaan yang sentiasa berusaha menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

 

“Pakatan pembangkang memberikan pelbagai tanggapan yang buruk atas apa saja pelaksanaan yang dilakukan oleh kerajaan, pelaksaaan dasar, penguatkuasaan akta malah UMNO/BN juga dituduh bersifat kroni sedangkan apa yang digembar-gemburkan itu berlaku dalam pakatan mereka,” katanya.

 

Dalam hal tersebut, Kagan melahirkan simpati atas musibah banjir yang melanda dan menawarkan bantuan untuk meringankan beban mangsa malah turut mengecam mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menjadikan bencana sebagai bahan untuk kepentingan diri semata-mata. – Umno.Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.