Malaysia Ketuai WEF, Cerminkan Komitmen Rencanakan Agenda Perdagangan Dunia – Mustapa

Kuala Lumpur – Penyertaan Malaysia pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) tahun ini mencerminkan komitmennya untuk merencanakan agenda perdagangan dunia, dan mengetuai perbincangan mengenai penyepaduan ekonomi Asean, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

 

“Tahun ini penting bagi Malaysia kerana sebagai pengerusi Asean, kita mesti berada di hadapan dalam memastikan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) menjadi kenyataan.

 
“Kita mesti dapatkan peluang untuk melibatkan komuniti perniagaan antarabangsa dan masyarakat awam, selain melaksanakan kepimpinan melalui teladan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan menghadiri forum dua hari di Davos, Switzerland mulai 23 Januari.

 

Najib yang juga Menteri Kewangan, akan diiringi Mustapa dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

 

Delegasi itu juga dianggotai beberapa pemimpin perniagaan terkemuka Malaysia selain ketua-ketua agensi berkaitan pelaburan.

 

Antara objektif penyertaan Malaysia pada forum itu ialah mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan utama di Asia.

 

Ia juga bermatlamat mempromosi Kuala Lumpur sebagai lokasi utama ibu pejabat serantau syarikat-syarikat multinasional; mengetengahkan kejayaan transformasi ekonomi Malaysia serta peranan Malaysia sebagai pengerusi Asean, khususnya penekanan ke atas Asean yang berpusatkan penduduk.

 
Perdana Menteri akan menyertai sesi WEF seperti Majlis Perniagaan Serantau Asean; Perhimpunan Pemimpin Ekonomi Dunia Tidak Formal (IGWEL) serta ‘Sesi Perbahasan Pemimpin Asean NewsAsia-TV: Mewujudkan Komuniti Ekonomi Asean’.

 

Najib juga akan bertemu beberapa ketua negara dan ketua pegawai eksekutif perbadanan terkemuka dunia yang mempunyai minat pelaburan yang mendalam di Malaysia.

 

Selain mesyuarat, perdana menteri dan para menteri akan menjadi hos rundingan meja bulat dengan pemimpin perniagaan dan acara khusus untuk mempromosi Malaysia.

 

WEF ialah forum bebas dunia bagi penglibatan dan dialog melibatkan pemegang kepentingan daripada sektor peniagaan dan politik, akademik dan pemimpin masyarakat bagi mengumpul idea untuk agenda pembangunan dunia, serantau dan mengikut sektor.

 

Forum bertemakan ‘Konteks Baharu Dunia’ antara lain akan membincangkan isu-isu berkaitan peniagaan dalam senario ekonomi dunia semasa. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.