Kes Kencing Tikus Meningkat Tiga Kali Ganda

BALIK PULAU – Kes jangkitan leptospirosis atau kencing tikus meningkat tiga kali ganda di Kelantan ekoran banjir besar bulan lepas, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

 

Beliau berkata, sebelum banjir melanda, sekitar 20 hingga 25 kes direkodkan, tetapi selepas banjir, jumlah meningkat sehingga 94 kes.

 

“Sehingga bulan ini sahaja sebanyak 94 kes kencing tikus dilaporkan dan ini sesuatu yang membimbangkan kerana penyakit itu berbahaya.

 

“Jadi pihak kementerian menasihatkan orang ramai khususnya rakyat Kelantan dan sukarelawan agar lebih berhati-hati dan mereka dinasihatkan jangan menggunakan air dari sumber yang tidak bersih,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemberian bantuan awal persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Balik Pulau, di sini hari ini.

 

Beliau berkata, mereka yang terkena jangkitan akan menghidapi demam panas, sakit kepala yang teruk, menggigil, muntah, batuk, mata menjadi merah, sakit perut, cirit birit dan sakit otot terutama betis mirip kesan penyakit saluran pernafasan, demam denggi dan demam kepialu.

 

“Penyakit ini boleh dirawat dengan antibiotik sekiranya hanya jangkitan ringan manakala kes yang teruk perlu dirawat di hospital kerana boleh mengakibatkan kerosakan pelbagai anggota dalaman badan seperti kegagalan buah pinggang, hati dan sistem pernafasan sehingga membawa kepada kematian,” katanya.

 

Dr Hilmi turut menasihatkan penduduk atau sukarelawan yang mempunyai kesan luka pada tangan, kaki atau anggota badan agar membalutnya dan jangan mendedahkan luka itu kepada kawasan berair yang tahap kebersihannya tidak dapat dipastikan.

 

Sementara itu, 10 klinik di Kelantan musnah dan tidak boleh digunakan manakala 54 lagi dalam proses pembaikan akibat banjir.

 

Beliau berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti beberapa kawasan yang lebih tinggi untuk membina semula klinik yang musnah agar tidak dilanda banjir pada masa hadapan.

 

“Kementerian juga bercadang untuk menaik taraf klinik desa dan klinik ibu dan anak yang terjejas akibat banjir menjadi klinik kesihatan tahap tujuh iaitu klinik kesihatan yang mempunyai fasiliti untuk menawarkan perkhidmatan kepada pesakit luar,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.