#DermaKilat : Artis Kumpul Sumbangan Untuk Mangsa Banjir

Kuala Lumpur – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

 

Terkesan dengan musibah banjir yang melanda beberapa negeri, kalangan penggiat seni tanah air bertekad melakukan apa yang terdaya bagi membantu meringankan beban yang ditanggung mangsa.

 

Selain persembahan konsert, antara usaha terkini yang dilakukan adalah melalui penjualan barangan peribadi yang diberi nama #DermaKilat.

 

Projek hasil cetusan idea penyanyi utama kumpulan Monoloque, Loque, ini turut mendapat sokongan para artis, antaranya Aizat Amdan, Pitahati, Bront Palarae, Fynn Jamal, Monoloque, Altimet, Amir Jahari, Salammusik dan ramai lagi.

 

Menurut Loque, sumbangan melalui penjualan ini diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa.

 

“Selain mengadakan persembahan dalam konsert, kami turut mengadakan acara melelong barang peribadi artis bagi membantu mengutip derma buat mangsa-mangsa pasca banjir pada konsert Ahad ini,” jelas Loque ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

 

Kata Loque, pelakon terkenal Bront bakal melelong kemeja-T yang pernah digunakan dalam filemnya di konsert itu nanti.

 

Acara lelongan ini bakal berlangsung dalam konsert #DermaKilat yang akan diadakan esok di Pusat Konvensyen TM di Menara TM.

 

Konsert yang bermula jam 5 petang itu akan dikenakan bayaran sebanyak RM25 di mana kutipan akan disalurkan ke dalam tabung #DermaKilat.

 

 

Kata Loque lagi, orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan namun tidak dapat menghadiri konsert tersebut masih boleh berbuat demikian secara dalam talian.

 

“Selain mengutip derma daripada tiket masuk konsert, kami turut mengalu-alukan sumbangan derma secara individu daripada orang ramai melalui pindahan wang ke akaun CIMB Islamic (Penerbitan Pancasona 14220000956101)” kata Loque.

 

Ini merupakan kali kedua projek #DermaKilat  diadakan. Kali pertama adalah pada Disember 2013 dan berjaya meraih sebanyak RM10,000 dalam masa empat hari sejak ia dilancarkan.

 

“Kami berharap agar dapat mengumpul lebih banyak sumbangan seperti tahun 2013 dan kutipan yang berjaya diperoleh akan kami serahkan kepada Mercy Malaysia,” kata Loque. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.