Anwar Bela Eric Paulsen, Pertikai Penangkapan

Penahanan Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen serta kaedah penahanannya merupakan manifestasi jelas, betapa kedaulatan undang-undang negara diperlekehkan dan kerajaan dalam keadaan paranoia.

 

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbezaan pendapat dan idea awam adalah aspek penting dalam sebuah negara demokrasi yang berkembang dan tatkala kebebasan bersuara tidak bersifat mutlak, kedaulatan undang-undang harus bersifat luhur dan pihak berwajib mesti memelihara prinsip demokrasi berparlimen secara tersurat, mahupun tersirat.

 

Menurutnya, kegagalan perkara ini dijamin, mendorong sebuah negara menghadapi risiko parah, manakala penahanan sewenang-wenangnya, pendakwaan terpilih serta penghakiman mahkamah yang tersasar, jelas sekali bercanggah doktrin ini dan sekaligus mencalar maruah rakyat.

 

Beliau berkata, pelanggaran seumpama ini bukan sesuatu yang remeh dalam amalan tadbir urus, tetapi pasti dilihat sebagai jenayah terbesar ke atas rakyat di sebuah negara bertamadun dan seharusnya berbangga dengan perlembagaan yang menjamin kebebasan asasi, agar dilindungi melalui kedaulatan undang-undang.

 

“Apa lagi yang boleh dijelaskan melalui pengerahan lebih daripada 20 pegawai polis untuk menahan seorang individu, tanpa mempertimbangkan individu tersebut merupakan seorang peguam hak asasi terkemuka?

 

“Jika ini sekadar mahu menunjukkan intimidasi secara terang-terangan, ia telah berjaya mempamerkan ketidakseimbangan antara kekuasaan besar sebuah negara dengan rakyat yang tidak berdaya,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

 

Paulsen ditahan pada malam Isnin lalu dan direman dua hari, susulan kenyataannya menuduh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosikan keganasan melalui khutbah Jumaat.

 

Tambah Ketua Pembangkang itu lagi, di mata sang penguasa zalim, kebebasan asasi nyata sekali boleh ‘dinyah pergi’ dan tweet seseorang boleh menjadi racun kepada orang lain.

 

Jelasnya, memandangkan dia belum didakwa, masih samar atas kesalahan apakah Paulsen akan disabitkan dan Ketua Polis Negara telah menyatakan melalui tweet beliau bahawa Paulsen disiasat di bawah Akta Hasutan, peninggalan lapuk era kolonial British.

 

“Selain daripada lompongnya kedaulatan undang-undang, reaksi berlebihan ke atas tweet Paulsen juga melambangkan maraknya sikap tidak bertoleransi terhadap agama yang hadir untuk memasung negara kita yang berbilang bangsa dan agama.

 

“Penyemarakan api perkauman melalui syak wasangka, kebencian dan permusuhan, menjadi pertaruhan kalangan mereka yang berada di bawah politik naungan,” tegasnya. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.