Anggota PDRM Kumpul RM931,000 Untuk Mangsa Banjir

Chukai – Pendekatan memotong gaji kakitangan yang diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengumpul dana sejumlah RM931,000 untuk diagihkan secara berperingkat kepada anggota dan pegawai polis yang terjejas banjir di seluruh negara.

 

Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun, berkata potongan gaji yang dibuat itu membabitkan seramai 126,000 anggota dan pegawai PDRM seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

 

Katanya, potongan gaji pada kadar RM5 hingga RM100 seorang itu membabitkan anggota dari peringkat kakitangan awam sehingga Ketua Polis Negara.

 

“Kadar potongan yang kita buat ini mengikut pangkat dengan potongan antara RM5 hingga RM100 seorang dan hasil kutipan akan diagihkan kepada lebih 1,575 mangsa yang terbabit.

 

“Ini kali pertama kita lakukan potongan gaji bagi membantu mereka yang ditimpa bencana dan semua persatuan dalam PDRM mewakili kakitangan awam, pegawai kanan dan anggota pangkat bawah bersetuju membantu magsa ini,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan kepada seramai 179 anak anggota dan pegawai polis serta kakitangan awam polis yang terbabit banjir bagi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu yang membabitkan nilai sumbangan berjumlah RM26,060.

 

Mohamad Fuzi berkata, langkah pemotongan gaji itu untuk membantu meringankan bebanan yang ditanggung mangsa kerana ada antara mangsa turut kehilangan tempat tinggal akibat bencana. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.