Najib Sertai Masyarakat Pelbagai Kaum Meriahkan Sambutan Thaipusam

KUALA LUMPUR,  — Seperti tahun sebelumnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluangkan masa bersama-sama masyarakat pelbagai bangsa dan agama menyaksikan keunikan sambutan Thaipusam di Batu Caves di sini.

Ketibaan Najib yang berpakaian tradisi masyarakat India ‘kurta’ berwarna krim di perkarangan Batu Caves pada 10.15 pagi disambut Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S.Subramaniam, Naib Presiden Gerakan A. Kohilan Pilay dan Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan Datuk Seri S.Samy Vellu.

Turut menyambut ketibaan Perdana Menteri ialah Naib Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan dan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC P.Kamalanathan serta puluhan ribu masyarakat India yang berada di situ.

Sejak awal pagi, puluhan ribu penganut Hindu membanjiri kawasan Batu Caves, yang menempatkan Kuil Sri Subramaniar Swamy bagi menyatakan kesyukuran, melaksanakan nazar atau menebus dosa masing-masing sempena sambutan Thaipusam.

Orang ramai termasuk pelancong asing turut bersesak sejak awal pagi untuk menyaksikan perarakan membawa ‘kavadi’ iaitu satu upacara membayar nazar penganut Hindu.

Najib kemudiannya melawat gerai-gerai yang terdapat di kawasan sambutan serta beramah mesra dengan para pengunjung.

Perdana Menteri kemudiannya dibawa ke tingkat atas bangunan Kuil Sri Subramaniar Swamy dan kemudiannya melambai-lambai ke arah puluhan ribu orang yang membanjiri perkarangan Batu Caves yang ingin melihat dengan lebih dekat pemimpin nombor satu negara itu.

Sambutan Thaipusam tahun ini lebih istimewa kerana ia juga bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2014 yang dilancarkan baru-baru ini.

Najib dalam perutusan khas sempena Thaipusam berkata sambutan perayaan itu bukan sahaja upacara keagamaan tapi juga menjadi agenda utama tarikan negara ini yang tercatat dalam kalendar pelancongan Malaysia.

Pada majlis hari ini, Najib turut meluangkan masa berbincang dengan pemimpin masyarakat India dan pihak pengurusan Batu Caves mengenai komitmen kerajaan terhadap penganut agama Hindu.

Sementara itu, Kamalanathan yang juga Timbalan Menteri Pendidikan II ketika ditemui pemberita berkata perdana menteri melahirkan rasa kagum dengan sambutan dan ribuan masyarakat pelbagai kaum yang membanjiri Batu Caves untuk melihat sendiri sambutan keagamaan masyarakat India.

Katanya perdana menteri juga menyatakan kesediaan kerajaan untuk membantu dari segi pembangunan di sekitar Batu Caves.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.