PDRM Sudah Dapat Keterangan Justo

Kuala Lumpur – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis sudah selesai mengambil keterangan bekas Pegawai Eksekutif PetroSaudi International Ltd (PSI), Xavier Andre Justo berhubung siasatan terhadap isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

Khalid berkata, perjumpaan yang diadakan di sebuah penjara di Bangkok, Thailand berjalan lancar dengan kerjasama baik dari Justo dan pihak berkuasa Thailand.

 

“Mungkin pegawai saya akan pulang hari ini dan akan membentangkan hasil temu bual itu.

 

“Pihak berkuasa Thailand akan menyerahkan dokumen berkaitan dalam masa terdekat,” katanya.

 

Justo kini merengkok di penjara Thailand kerana sedang menjalani hukuman tahanan selama tiga tahun atas kesalahan cuba memeras ugut bekas majikannya.

 

Menurut beberapa laporan media, Justo mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

 

Dia dituduh membekalkan maklumat palsu kepada beberapa pihak dari Malaysia berhubung syarikat pelaburan negara, 1MDB.

 

Julai lalu polis gagal menemui Justo kerana tidak memperoleh akses kepada tahanan berkenaan di penjara.

 

Justeru Khalid memberitahu pihaknya akan merujuk kepada Pejabat Peguam Negara bagi memudahkan proses berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.