Misteri Lelaki Hilang Selama Empat Bulan Terjawab

KUALA PILAH – Misteri kehilangan seorang pemuda sejak empat bulan lalu akhirnya terjawab apabila dia ditemui mereput di dalam rumah ibu saudaranya di Kampung Kuala Sungkak, jam 9 pagi semalam.

 

Mangsa, Mohd Hidir Abu Bakar, 34, masih bujang dan bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makan di kampung berkenaan.

 

Menurut ibu saudara mangsa, Dewi Zurainah Osman, 48, kali terakhir mangsa ditemui pada Ogos lalu, beberapa hari sebelum tibanya bulan Ramadan.

 

“Mangsa memang tinggal sendirian di rumah itu. Kali terakhir saya jumpa mangsa beberapa hari sebelum puasa di kedai makan tempat dia bekerja.

 

“Biasanya mangsa sering lalu-lalang di sekitar kampung tetapi bila orang kampung sudah jarang nampak dia, kami tak cari kerana dia suka menyendiri,” katanya.

 

Bagaimanapun, kata Dewi Zurainah, misteri kehilangan mangsa terjawab selepas dia dan ayahnya, Osman Abd Ghani, 84, pergi membajak tanah berhampiran dengan rumah mangsa.

 

“Ketika kami membajak, saya ternampak lampu bahagian dapur rumahnya menyala. Saya jenguk-jenguk kot terjumpa Hidir.

 

“Saya dan ayah cuba panggil kalau dia ada di dalam rumah. Bila tiada sahutan, ayah panggil seorang rakannya, Ismail Ibrahim, 60, untuk bantu pecahkan pintu belakang rumah,” katanya.

 

Alangkah terkejutnya, kata Dewi Zurainah apabila mereka ternampak satu rangka manusia terbujur di atas katil dan dipercayai adalah Hidir.

 

“Bimbang dengan kejadian itu, pakcik Ismail segera menghubungi polis,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Luqman Abdul Rahman mengesahkan kejadian.

 

“Di sisi mangsa terdapat dokumen rawatan mental dari Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah atas nama mangsa.

 

“Unit Forensik dan Patalogi telah dipanggil untuk membantu siasatan. Bagaimanapun, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah berlaku,” katanya.

 

Tambah beliau, polis telah menemui adik mangsa, Rafiudin Abu Bakar, 28, yang tinggal 50 meter dari rumah mangsa dan memaklumkan, kali terakhir beliau bertemu abangnya pada Ogos lalu selepas Aidilfitri.

 

“Mangsa mengalami masalah mental dan masyarakat seharusnya peka tentang kehilangan mangsa.

 

“Sepatutnya dalam tempoh tiga hari mangsa tidak ditemui, laporan polis telah dibuat dan gerakan mencari boleh dilakukan dengan kadar segera,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.