Dewan Negara Lulus Bajet 2016

KUALA LUMPUR – Rang Undang-undang Perbekalan 2016 diluluskan di Dewan Negara malam ini selepas hangat dibahaskan sejak 7 Disember lepas.

 

Perbahasan rang undang-undang tersebut menarik perhatian kira-kira 20 ahli Senator Dewan Negara yang berbahas mengenai pelbagai isu semasa yang sebelum ini turut mendapat perhatian ahli Dewan Rakyat.

 

Sebelum itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani membentangkan rang undang-undang untuk bacaan kali ke-3 yang kemudiannya disokong Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohd Sadique.

 

Rang undang-undang itu kemudian diluluskan kira-kira 10.10 malam ini di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Doris Sofia Brodi.

 

Rang undang-undang itu sebelum ini dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 23 Oktober lepas di Dewan Rakyat dan diluluskan pada peringkat dasar pada 16 November lepas.

 

Ia kemudian dibahaskan di peringkat jawatankuasa selama 9 hari bermula 17 November sebelum diluluskan di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

 

Rang undang-undang berkenaan kemudian dibawa dan dibahaskan di Dewan Negara.

 

Rang undang-undang itu bertujuan memperuntukkan RM267.22 bilion untuk perbelanjaan kerajaan tahun depan.

 

Persidangan Dewan Negara bersambung esok. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.