Andik Kekal Bersama Selangor Dua Tahun Lagi

KUALA LUMPUR – Pemain sayap lincah Selangor, Andik Vermansyah akhirnya menamatkan teka teki mengenai masa depannya bersama pasukan itu selepas menandatangani kontrak baharu selama dua tahun.

 

Ini sekali gus menutup spekulasi bahawa kontrak Andik tidak disambung dan disunting beberapa pasukan lain untuk saingan Liga Malaysia (Liga M), musim depan.

 

Memetik laporan sebuah portal di Indonesia, pemain sayap berusia 24 tahun itu mengesahkan dia sudah menandatangani kontrak baharu yang ditawarkan kepadanya sebelum sepak mula aksi akhir Piala Malaysia menentang Kedah, Sabtu lalu.

 

Andik sudah bersedia untuk memberi komitmen penuh kepada pasukan itu dan akan terus menyarung jersi Merah Kuning sehingga Disember 2017.

 

Sebelum ini, penyokong Selangor mahu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) supaya menawarkan kontrak baharu kepada pemain kelahiran Jember itu selepas kontraknya tamat hujung November lalu.

 

Selain itu, dia juga pernah mengeluarkan kenyataan untuk terus kekal bersama Selangor, namun terpaksa menyerahkan nasibnya kepada FAS selaku pemilik kontraknya dan akur jika tiada kontrak baharu ditawarkan untuknya bagi musim depan.

 

Tiga musim bersama Selangor, Andik pantas menjadi pemain kegemaran penyokong dengan aksi lincah dan kebolehannya menggelecek sering kali mendatangkan masalah kepada pertahanan lawan.

 

Malah, kelibatnya pada aksi akhir Piala Malaysia Sabtu lalu juga membantu Gergasi Merah meraih Piala Malaysia sekali gus menamatkan penantian selama 10 tahun selepas kali terakhir trofi berprestij itu dimenangi Selangor pada 2005. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.