Amanah Mahu Ganti PAS Di Kelantan, kata Mat Sabu

Kuala Lumpur – Parti Amanah Negara (Amanah) sedia untuk mengambil alih kerajaan negeri Kelantan daripada PAS kata Mohamad Sabu yang mendakwa wujud ramai penyokong dalam diam kepada parti serpihan itu.

 

Presiden Amanah itu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, kerajaan di negeri pantai timur Semenanjung itu mempunyai paling ramai golongan ‘harumanis’ di kalangan rakyatnya.

 

Istilah itu diambil sempena sejenis buah mangga, digunakan bagi menggambarkan ahli PAS yang menyokong Amanah, yang ditubuhkan selepas puak progresif meninggalkan parti itu selepas tewas dalam pemilihan parti pada Jun lalu.

 
Mangga harumanis hijau di luar tetapi oren di dalam, mencerminkan warna rasmi PAS, hijau, dan Amanah, oren.

 

Bercakap dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insider, Mat Sabu menyeru mereka yang mengundi PAS dalam pilihan raya lalu di Kelantan, supaya tidak pergi kepada Barisan Nasional, tetapi memilih Amanah dalam pilihan raya umum akan datang, jika marah kepada PAS sekalipun.

 

“Saya diberitahu, berdasarkan kajian yang dibuat, PAS akan kalah dalam pilihan raya umum akan datang di Kelantan kerana pelbagai sebab.

 

“Generasi kami dulu antara yang memenangkan PAS di Kelantan. Kami tidak akan izinkan ia jatuh ke tangan BN kembali.

 

“Kalau nak tolak PAS pun, pergilah kepada Amanah…” pinta bekas timbalan presiden PAS itu.

 

Kerajaan Kelantan dalam sejarahnya, hampir sepanjang masa diterajui PAS, kecuali untuk 1 tempoh pada 1980-an apabila ia diperintah BN.

 

Pilihan raya umum seterusnya dijadualkan pada 2018.

 

Bagaimanapun, pada masa ini, jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelantan yang menyokong Amanah tidak mencukupi untuk membantu parti baharu itu menang di negeri itu dan membentuk kerajaan.

 

Sejak Amanah ditubuhkan beberapa bulan lalu, timbul cakap-cakap yang ia mendapat sokongan kira-kira 10 hingga 15 Adun negeri itu.

 

PAS memiliki 32 daripada sejumlah 45 kerusi DUN di Kelantan. Selebihnya dipegang BN (12) dan PKR (1).

 

Sehingga hari ini, tiada seorang pun wakil rakyat yang secara terbuka menyuarakan sokongan mereka kepada Amanah.

 

Penghalang utama mereka berbuat demikian ialah ‘baiah talaq’, iaitu aku janji yang isteri mereka akan tercerai secara automatik jika meninggalkan PAS.

 

Namun 2 ahli Parlimen PAS di Kelantan sudah pun meninggalkan parti itu. Mereka ialah wakil rakyat Kuala Krai Dr Mohamad Hatta Ramli yang menyertai Amanah, dan wakil rakyat Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar yang menyertai PKR.

 

Dalam konvensyennya baru-baru ini, BN yakin dapat merampas Kelantan daripada PAS pada pilihan raya umum akan datang (PRU14), sekali gus menebus maruah kekalahan parti itu pada 1990.

 

Keyakinan tersebut disuarakan Pengerusi BN negeri Datuk Seri Mustapa Mohamed dengan mengambil kira faktor ketiadaan bekas menteri besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan kekecohan dalam PAS dengan kewujudan Amanah.

 

PAS bersendirian di bangku pembangkang kerana ia bukan sebahagian gabungan baharu Pakatan Harapan.

 

Di bawah pimpinan Nik Aziz, yang meninggal dunia 12 Februari lalu selepas mengidap barah, PAS merampas Kelantan daripada Umno pada PRU 1990 ketika ia bergabung dengan Semangat 46, di bawah Tengku Razaleigh Hamzah.

 

Pakatan itu berjaya memenangi kesemua kerusi yang dipertandingkan di negeri itu.

 

Nik Aziz, yang menyokong kerjasama dengan parti lain di bawah Pakatan Rakyat dan menjadi penyuluh kepada PAS dalam banyak perkara kontroversi sebelum ini, meninggalkan kesan besar kepada parti itu, bukan saja di Kelantan bahkan seluruh negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.