VIDEO: ADUN PKR Kena Maki Dengan Ketua Kampung

Port Dickson – “Tindakan saya adalah waras, bukannya tindakan yang melulu dan tanpa usul periksa,” kata Ketua Kampung Jimah Shafie Alwie ketika di tanya tentang tindakannya menegur kunjungan PKR di ketuai Adun Port Dickson, M Ravi ke rumah salah seorang mangsa banjir di Kampung Jimah Lama sebelum tercetus kekecohan.

Menurutnya, dia sebagai orang yang bertanggungjawab di kampung berkenaan mengambil tindakan sedemikian untuk memastikan orang luar yang tidak tahu apa-apa mencampuri urusan kampungnya.

“Sebelum datang ke rumah mangsa banjir itu, saya telah berbincang dahulu dengan beberapa ahli jawatankuasa kampung termasuk memaklumkan kepada polis tentang apa yang hendak saya lakukan iaitu menegur rombongan PKR itu.

“Kedatangan mereka ke kampung ini hanya sia-sia dan memberi gambaran yang salah tentang kampung kerana sememangnya mereka tidak tahu apa yang sedang berlaku di kampung ini. Mereka adalah orang luar,” katanya.

Shafie berkata, dia tidak mencabar mana-mana pihak dan niatnya kelmarin adalah hanya untuk mempertahankan kampungnya dari unsur licik.

Shafie memberitahu, penduduk yang dikunjungi PKR adalah salah seorang mangsa banjir yang telah banyak kali menerima bantuan daripada pelbagai pihak sama ada kerajaan mahupun swasta.

Katanya barang-barang makanan yang didermakan oleh PKR hanyalah bantuan biasa yang diberikan kepada mana-mana mangsa banjir dan ia tidak akan membantu keluarga itu menjadi kaya.

“Keluarga berkenaan juga sudah menerima bantuan daripada orang ramai beberapa kali.” katanya.

Sementara itu Ravi hari ini mengkritik tindakan seorang ketua kampung itu yang dikatakan seperti seorang gengster ketika meminta kumpulan parti PKR meninggalkan kampungnya.

Ravi berkata, kumpulan PKR, yang terdiri daripada beberapa pemimpin bahagian dari Negeri Sembilan pergi ke Kampung Jimah di Lukut pada Ahad untuk untuk melawat mangsa banjir apabila ketua kampung itu Shafie Alwi, tiba-tiba saja menemui mereka.

“Shafie tiba-tiba masuk ke dalam rumah dan menjerit ke arah kumpulan kami, mahu tahu apa yang kami buat di situ.

“Dia memarahi kumpulan PKR ini kerana masuk ke kampung tanpa kebenarannya dan mahu kami meninggalkan kampung itu secepat mungkin.”

Katanya, kumpulan itu terperanjat kerana ketua kampung tidak ada hak menghalang mana-mana orang daripada masuk ke kampung.

“Dia menuduh kami cuba mendapatkan kelebihan politik,” katanya.

Dalam pada itu, Shafie juga memberitahu, melalui peruntukan khas kerajaan persekutuan sebanyak RM13 juta telah disalurkan bagi projek pembiayaan pembersihan dan mendalamkan sungai.

“Pihak berkuasa telah pun mula melakukan kerja-kerja pembersihan sungai di kawasan itu bagi menyelesaikan masalah banjir. Banjir telah berlarutan sejak dan bertambah teruk sejak empat tahun lalu setiap kali berlakunya hujan lebat.

“Proses mengambil alih lot tanah penduduk yang berada di kawasan tebing sungai juga selesai membabitkan sekitar 60 pemilik lot. Awal Januari depan dijadualkan kesemua pemilik lot ini akan menerima pampasan masing-masing.

“Selepas itu, kerja-kerja mendalam dan membersihkan sungai akan terus dilaksanakan secara agresif dan saya dimaklumkan kerja-kerja itu di jangka selesai pada 2016 sekaligus akan dapat menyelesaikan masalah banjir yang kerap berlaku di sini.

“Projek ini akan membabitkan sungai di kawasan hilir kampung sehingga ke Sendayan anggaran 10 kilometer panjangnya,” katanya.

Shafie berkata, selain itu, pihak pemaju di kawasan perumahan dan pembangunan sekitar Kampung Jimah juga telah membina kolam takungan tadahan air hujan.

Sebanyak 44 buah rumah di Kampung Jimah Lama terlibat dengan kejadian banjir kilat baru-baru ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.