Taliban Serang Sekolah Tentera Awam, 126 Pelajar Tekorban

Peshawar – Angka korban akibat serangan sekumpulan penembak Taliban di sebuah sekolah yang dikendalikan tentera, di bandar Peshawar, barat laut Pakistan, pada Selasa, meningkat kepada 126 orang, setakat ini.

Majoriti mangsa dalam serangan terburuk di Pakistan, sejak setahun lalu itu, adalah pelajar sekolah awam tentera yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja darjah satu hingga 10.

Serangan itu dilakukan Tehreek-e-Taliban, sebuah kumpulan militan Taliban yang cuba menggulingkan kerajaan.

Ketua Menteri Wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pervez Khattak berkata, jumlah yang cedera juga hampir sama dengan angka korban.

Menurut Khattak, semua yang terbunuh dalam serangan itu adalah ‘kanak-kanak’, namun pegawai hospital terdahulu memberitahu, sekurang-kurangnya seorang mangsa korban terdiri daripada guru serta seorang lagi adalah anggota keselamatan.

Serangan itu masih berterusan di sekolah berkenaan.

Sementara itu, menurut pegawai polis, Javed Khan, serangan itu berlaku pada pagi tadi, apabila sekumpulan penembak memasuki sekolah berkenaan, sebelum memulakan tembakan rambang.

Komando tentera yang dikejarkan ke tempat kejadian selepas itu, berbalas tembakan dengan kumpulan penyerang terbabit.

Jurucakap Hospital Lady Reading, Jamil Shah berkata, 20 pelajar dan seorang anggota separa tentera maut.

Namun, tidak jelas jika anggota tentera itu sudah berada di tempat kejadian, ketika serangan bermula, atau dia adalah sebahagian daripada komando tentera yang tiba di lokasi serangan sejurus selepas kejadian bermula.

Katanya, seramai 36 yang lain turut cedera dalam serangan itu, termasuk dua guru.

Tentera Pakistan dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi menyelamat masih diteruskan dan kebanyakan pelajar serta petugas sekolah itu sudah dikeluarkan dari tempat kejadian.

Sekolah itu terletak di pinggir kantonmen tentera di Peshawar, dengan kumpulan pelajar itu terdiri daripada orang awam.

Jurucakap Taliban, Mohammed Khurasani mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu, menerusi satu panggilan telefon kepada media.

Menurutnya, enam pengebom berani mati telah melancarkan serangan itu, sebagai balas dendam terhadap pembunuhan anggota Taliban oleh pihak berkuasa Pakistan.

Peshawar menjadi sasaran militan sejak dulu lagi, namun keganasan kian reda kebelakangan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.