Sekretariat Parlimen Belia Malaysia Tidak Keluarkan ‘Emblem’

Kuala Lumpur – Sekretariat Parlimen Belia Malaysia (PBM) hari ini menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang lambang (emblem) kereta dan menggalakkan mana-mana Ahli Parlimen Belia Malaysia (APBM) untuk menggunakannya.

Menurutnya kenyataan melalui laman Facebooknya, pihaknya telah memaklumkan kepada Ahli Parlimen Belia Malaysia yang menggunakan lambang berkenaan untuk berhenti menggunakannya serta-merta.

“Parlimen Belia merupakan sebuah program di bawah Kementerian Belia Sukan untuk mengetengahkan lagi suara-suara belia dan bukannya untuk memberi platform bagi ahlinya memperaga jawatan,” katanya.

Tambah kenyataan tersebut, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sewaktu sesi penyerahan watikah pada 30 November lalu menyatakan harapan beliau supaya APBM terus berkhidmat dengan penuh rasa rendah diri dan memberi fokus kepada impak positif untuk belia Malaysia.

Katanya, diharapkan semua APBM dapat memberikan fokus kepada impak cadangan dasar dan khidmat bakti demi kebaikan belia Malaysia.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd. Adib Anas Md. Noor, lambang yang mempunyai logo persatuan tersebut dikeluarkan oleh GPMS Pusat pada Persidangan Agung Tahunan GPMS kali ke-60 di Pekan, Pahang baru-baru ini.

Menurutnya, GPMS Pusat bukan sekadar melancarkan lambang Ahli Parlimen Belia tetapi dua lambang lain untuk Ahli Majlis Tertinggi dan ahli GPMS.

“Emblem (lambang) yang berlogo GPMS merupakan satu penghargaan dan anugerah kepada pemimpin-pemimpin GPMS yang telah berjaya dipilih sebagai APBM tempoh hari dan tidak membawa apa-apa keistimewaan.

“Penganugerahan ini adalah sebagai suntikan semangat kepada mereka yang mewakili GPMS supaya mereka dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan lebih efektif dan sebagai simbol perjuangan,” katanya menerusi entri Facebooknya.

Tambahnya, hanya 26 lambang Ahli Parlimen Belia berlogo GPMS dikeluarkan kepada pemimpin-pemimpin GPMS yang dipilih dan yang lainnya adalah untuk kegunaan ahli majlis tertinggi dan juga ahli persatuan.

“GPMS mengiktiraf mereka secara dalaman kerana mereka telah dipilih oleh belia-belia lain untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin belia masa kini.

“Kemenangan mereka adalah atas dasar suara majoriti melalui proses pengundian yang telah dijalankan,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.