Sejak 2009, 23 Individu Didakwa Dibawah Akta Hasutan 1948

Kuala Lumpur – Seramai 23 individu didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 sejak 2009, persidangan Dewan Negara diberitahu Isnin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata mereka didakwa atas pertuduhan menghasut melibatkan isu agama, perkauman, kerajaan, mahkamah dan Raja-raja.

“Daripada 23 didakwa, seramai lima orang didakwa (atas) kesalahan menghasut melibatkan penghinaan terhadap Raja-raja,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 di persidangan itu di sini Isnin.

Beliau juga berkata kerajaan akan meneliti dan mengkaji secara terperinci pindaan yang sesuai terhadap akta itu susulan pengumuman kerajaan untuk mengekal dan memperkukuhkan lagi akta berkenaan.

Kerajaan, katanya, menghargai setiap sokongan dan akan mengambil maklum setiap saranan bagi tujuan memperkukuh akta berkenaan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar memberitahu persidangan itu bahawa Malaysia Airlines (MAS) tidak terkecuali daripada membayar satu kadar yang kompetetif sebagai usaha untuk menarik minat bakat yang berkemampuan menerajui syarikat penerbangan itu.

Tanpa mendedahkan jumlah gaji bakal Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu MAS, Christoph R. Mueller, Abdul Wahid yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancangan Ekonomi (EPU) memberi gambaran bahawa berdasarkan keadaan semasa, CEO di negara ini menerima ganjaran lebih daripada RM1 juta setahun.

“Untuk menarik bakat berkemampuan, syarikat boleh bayar ganjaran yang berpatutan bersesuaian dengan tanggungjawab serta taraf mereka (CEO) di syarikat besar,” katanya.

Pemilihan Mueller dibuat berdasarkan kecemerlangan dan pengalaman beliau dalam bidang penerbangan selama 25 tahun.

Mueller juga dikatakan mempunyai rekod baik sehingga berjaya memulihkan masalah kewangan syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa dalam tempoh singkat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim pula berkata sehingga 30 Jun tahun ini terdapat seramai 47,717 orang pegawai lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam di seluruh negara.

Katanya daripada jumlah itu 89.6 peratus atau 42,759 adalah pegawai kontrak yang dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran serta badan-badan berkanun.

“Baki 4,958 atau 10.4 peratus lagi merupakan pegawai lantikan kontrak yang diluluskan Kementerian Kewangan seperti pakar penasihat, pegawai khas dan pegawai pemantau harga barang,” katanya.

Shahidan menjelaskan pegawai lantikan kontrak dalam sektor kerajaan tidak akan diserap secara automatik ke jawatan tetap, sebaliknya mereka perlu mengikut prosedur ditetapkan iaitu mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa melantik berdasarkan kelayakan akademik serta pengalaman yang dimiliki. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.