Pekerja Asing: Hapus Sistem Ejen Pembekal

Kuala Lumpur – Majlis Profesor Negara (MPN) mencadangkan agar pengambilan dan pengurusan pekerja asing dilaksanakan antara ‘kerajaan dengan kerajaan’ dan tidak melalui agensi pembekal.

Timbalan Setiausaha Agung MPN, Prof Dr Kamaruddin Mohd Said berkata agensi pembekal sama ada di negara asal atau di negara ini mengenakan bayaran tinggi menyebabkan pekerja asing walaupun belum mula bekerja sudah berhutang dan tidak menerima gaji sehingga sembilan atau 10 bulan untuk menebus hutang itu.

“Asalnya mereka datang dengan baik. Tetapi untuk membebaskan diri daripada hutang, mereka lari daripada kontrak dan status mereka berubah daripada pekerja asing dengan izin kepada tanpa izin,” katanya.

Cadangan itu merupakan antara intipati resolusi yang diluluskan dalam Persidangan MPN bertajuk ‘Dilema Negara: Isu dan Cabaran Pekerja Asing di Malaysia’ yang memasuki hari kedua dan akhir hari ini.

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata MPN turut mencadangkan supaya dikaji semula Akta Kerja (Pindaan) 2012 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 yang kini tidak menyentuh senario yang menghimpit pekerja asing.

“Pekerja asing hampir enam juta tetapi tiada akta khusus yang menyentuh kepentingan mereka,” kata Kamaruddin.

Resolusi yang diluluskan akan diserahkan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada majlis penutup persidangan malam ini.

Beliau berkata secara keseluruhan, 13 perkara pokok dibincangkan pada persidangan antaranya kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing, persepsi masyarakat terhadap mereka serta soal penguatkuasaan dan keselamatan.

Sementara itu Setiausaha Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam MPN, Prof Dr Durrishah Idrus semasa persidangan itu mencadangkan supaya sebuah institut kajian pekerja asing ditubuhkan bagi memudahkan kajian dan perbincangan dengan pihak berkepentingan.

“Apabila ada semua pihak terlibat dalam satu kumpulan yang besar termasuk agensi penguatkuasaan yang mempunyai pengetahuan tinggi dalam isu ini, proses dokumentasi juga akan lebih mudah.

“Jadi institut itu boleh menjadi pusat sehenti untuk mendapatkan kajian dan data terkini sama ada oleh pengkaji dari dalam atau luar negara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.