PAS Dan DAP boleh Terima Konsep ‘Setuju Untuk Tidak Bersetuju’ – Ketua Pemuda PAS

Kuala Lumpur – PAS menggesa agar DAP dan Pakatan Rakyat (PR) memberi tumpuan terhadap usaha memperkukuh Pakatan Rakyat dan membulatkan titik persamaan yang menjadi tekad bersama.

Ketua Pemudanya, Suhaizan Kaiat berkata, gesaan yang dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkenaan isu hudud itu telah kembali menjadi ‘bola tanggung’ kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk memanipulasi isu tersebut.

Menurutnya, pihaknya berpendapat keadaan ini tidak seharusnya berlaku dan sewajarnya seluruh pemimpin PR ketika ini perlu fokus dan tidak terjebak untuk memanjangkan polemik sedia ada.

“Pemuda PAS Malaysia percaya bahawa PAS dan DAP boleh menerima konsep ‘setuju untuk tidak bersetuju’ dalam isu hudud dan mempolemikkan isu ini di ruang awam hanya menambahkan prejudis dan hilang hormat rakyat kepada kita.

“Sewajarnya pada fasa ini, seluruh anggota Pakatan Rakyat perlu fokus untuk berkhidmat dengan lebih baik dan memperbaiki hubungan sesama taulan dalam koalisi politik yang menjadi harapan rakyat Malaysia ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya tetap berpendirian bahawa hudud merupakan di antara agenda teras perjuangan PAS khususnya di Kelantan.

Jelasnya, undang-undang hudud ini telah dibentangkan di Dewan Undangan Negeri semenjak tahun 1993 lagi iaitu 15 tahun sebelum wujudnya Pakatan Rakyat pada tahun 2008 dan DAP sendiri menyedari pendirian berkenaan sebelum bersama-sama dalam PR.

“Kenyataan agar PR membuat pendirian menolak hudud merupakan satu kenyataan yang tidak matang dan lebih berbentuk provokasi dan PAS tidak perlu melayan provokasi kerana di Kelantan kerajaan negeri wajib untuk terus mara ke hadapan ke arah memastikan undang-undang ini dapat dikuatkasakan sepenuhnya.

“Kita mengharapkan kerajaan Kelantan tidak berundur ke belakang dalam isu ini bahkan pengumuman Menteri Besar Kelantan akan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri khas bagi membincangkan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah Kerajaan Kelantan (Pindaan) 2014 pada 29 Disember ini merupakan satu langkah yang sangat dialu-alukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Dr. Raja Ahmad Iskandar al-Hiss berkata, pihaknya mempertahankan syariat berkaitan hukuman hudud di dalam perundangan Islam yang dinyatakan di dalam al-Quran yang bertujuan untuk memelihara nilai-nilai murni seorang insan terutamanya yang beragama Islam.

Jelasnya, mengambil kira Perlembagaan Negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi khasnya buat umat Islam yang berpegang kepada al-Quran dan Sunnah, sudah tentu mereka yakin dan percaya bahawa hudud adalah merupakan tuntutan Islam sebenarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.