Korean Air Digantung 21 Hari Hanya Kerana Kacang

Seoul – Korean Air akan berdepan penggantungan selama 21 hari atau didenda $1.3 juta, kerana melanggar peraturan penerbangan.

Pengarah Kementerian Pengangkutan Korea Selatan, Lee Gwang-hee berkata, sebuah jawatankuasa berasingan akan memutuskan, jika hukuman itu akan dikurangkan atau bertambah berat.

Jelasnya, budaya korporat syarikat penerbangan itu juga akan dinilai, sama ada ia mendatangkan risiko keselamatan, selepas anak perempuan Pengerusi Korean Air, Cho Hyun-ah bertindak melangkaui kapten, dengan memaksa sebuah pesawat kembali ke pintu pelepasan, dalam satu insiden 5 Disember lalu.

Cho yang juga Ketua Perkhidmatan Kabin Korean Air, mengarahkan seorang pramugara kanan turun dari pesawat itu, selepas dia menghidangkan kacang macadamia dalam bungkusan kepadanya, bukannya di pinggan, yang didakwanya melanggar protokol perkhidmatan kelas pertama.

Keluarga Cho memiliki 10 peratus pegangan saham dalam Korean Air, yang merupakan sebahagian daripada konglomerat keluarga Hanjin.

Park Chang-jin yang dipaksa turun dari pesawat pada hari kejadian memberitahu rangkaian televisyen KBS, Jumaat lalu bahawa Cho telah bertindak memalukan dan menghina kru kabin.

Seorang penumpang kelas pertama penerbangan itu memberitahu agensi berita Yonhap bahawa Cho telah menjerit kru kabin yang melutut di hadapannya, selain menolak bahu seorang kru kabin dan melontar satu objek ke dinding pesawat.

Susulan itu, Cho disingkirkan daripada semua jawatan eksekutif Korean Air.

Wanita berusia 40 tahun itu bersama bapanya, Cho Yang-ho turut memohon maaf secara terbuka, minggu lalu.

Isu itu kembali hangat, apabila Korean Air cuba menggagalkan siasatan kerajaan dan laporan media tempatan mendedahkan, pekerja syarikat penerbangan itu dilayan seperti orang gaji untuk keluarga Cho.

Pegawai Korean Air dilaporkan memberi tekanan kepada Park, dengan memberi dia versi kejadian yang telah diubah bagi tujuan siasatan.

Menurut Kementerian Pengangkutan Korea Selatan, syarikat penerbangan itu akan dikenakan tindakan, kerana Cho dan Park menipu ketika siasatan dijalankan, selain kapten pesawat turut lalai dalam tugasnya.

Namun, Lee menjelaskan, kapten terbabit tidak akan dikenakan sebarang sekatan, kerana dia tidak berkuasa menolak permintaan seorang ahli keluarga yang menguasai syarikat penerbangan itu.

Kenyataan kementerian itu turut memaklumkan, pekerja Korean Air yang lain turut ditekan supaya menipu penyiasat kes berkenaan.

Pendakwa raya sebelum ini memulakan satu lagi siasatan terhadap kes Korean Air, selepas menerima satu aduan daripada sebuah kumpulan sivik.

Susulan itu, pendakwa raya akan memanggil Cho untuk disoal siasat, pada Rabu ini.

Saham Korean Air merosot dua peratus di Seoul, selepas kerajaan mengumumkan rancangannya untuk mengenakan sekatan ke atas syarikat penerbangan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.