Isu Hudud : Agenda DAP Singkirkan Pas Dari PR – Pas Perak

Ipoh – Pas Perak tidak menolak isu hudud dimainkan DAP adalah agenda untuk menyingkirkan Pas daripada meneruskan perjuangan bersama PR bagi menghadapi PRU14.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, perkara itu jelas dapat dilihat melalui kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menggesa supaya DAP, Pas dan PKR menolak hudud sekiranya mahu menakluki Putrajaya pada PRU14, nanti.

“Jangan anggap setiap apa yang diucapkan itu tidak ada mata yang memerhati dan tidak ada telinga yang mendengari,’ katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Razman, kenyataan Guan Eng berkenaan penolakan hudud itu juga berkemungkinan bertindak balas daripada hasrat Kerajaan Kelantan mengemukakan rang undang-undang berhubung pindaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 Pindaan 2014 pada 29 Disember depan.

“Sedikit sebanyak ianya bersangkut-paut namun saya beranggapan hukum hudud yang mungkin dilaksanakan di Kelantan itu bersifat lokaliti dan tidak membabitkan negeri lain,” katanya.

Beliau berkata, Guan Eng seharusnya berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan agar kerjasama yang dijalinkan sebelum ini kekal pada tahap terbaik.

Sementara itu Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Norazli Musa pula berkata, kenyataan dibuat Guan Eng berkaitan hudud itu memperlihatkan DAP seolah-olah tidak menghormati sensitiviti umat Islam.

“DAP tidak mencerminkan sikap menghormati agama Islam termasuk percubaan  provokasi terhadap pelaksanaan hudud di Kelantan,” katanya.

Norazli berkata, penolakan hukum hudud itu menguatkan lagi dakwaan bahawa DAP sememangnya parti perkauman yang menolak agama Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.