Intergriti Dan Kompetensi Asas Perlantikan Lembaga Pengarah – Najib

Putrajaya – Perdana Menteri hari ini menggariskan dua nilai asas — integriti dan kompetensi — yang perlu diamalkan anggota Lembaga Pengarah Lantikan Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) bagi urus tadbir syarikat yang efektif.

Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan berkata, setiap anggota lembaga pengarah yang dilantik perlu memastikan tadbir urus syarikat adalah efektif; sama ada untuk meraih keuntungan, bagi tujuan sosio ekonomi, atau memberi perkhidmatan yang lebih efisien.

Bagi mempertingkat integriti syarikat, beliau berkata anggota lembaga pengarah syarikat MKD perlu melalui tapisan keutuhan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita akan terus bekerjasama dengan SPRM sebelum pelantikan anggota lembaga pengarah bagi memastikan kepentingan kerajaan dapat diberi perlindungan dan dipelihara sebaik mungkin,” katanya pada majlis pelancaran buku “Garis Panduan Anggota Lembaga Pengarah Lantikan MKD” di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Buku Garis Panduan itu bertujuan membantu pegawai kerajaan yang dilantik sebagai anggota lembaga pengarah mewakili MKD dapat memainkan peranaan yang lebih berkesan bagi memastikan tadbir urus syarikat MKD lebih mampan dan berdaya maju.

Buku setebal 41 muka surat itu perlu menjadi rujukan anggota lembaga pengarah agar semua dasar MKD dipatuhi dan dilaksanakan sepenuhnya.

Najib juga mengingatkan anggota lembaga pengarah untuk memastikan kepentingan kerajaan dilindungi dalam setiap kontrak yang ditandatangani.

“Amat perlu memastikan setiap kontrak agar ia seimbang dan tidak berat sebelah kepada kerajaan dan pihak yang mengendalikan kontrak itu,” katanya.

Selain integriti, Najib berkata anggota lembaga pengarah perlu memastikan buah fikiran yang diberikan dapat membantu dalam proses membuat keputusan bagi memastikan nilai syarikat bertambah.

Sebagai anggota lembaga pengarah, katanya mereka perlu memahami dan menghayati dasar-dasar negara seperti penyertaan wanita dan memperkasa agenda bumiputera diterjemahkan dalam syarikat-syarikat MKD.

MKD merupakan syarikat pegangan pelaburan induk kerajaan persekutuan yang bertanggungjawab mengawasi dan memantau pelaburan-pelaburan yang dibuat oleh kerajaan ke atas syarikat-syarikat milik MKD.

Objektif syarikat MKD adalah untuk menambah nilai kepada pemegang saham yang boleh diukur melalui tahap pencapaian prestasi kewangan dan bukan kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.