Insiden Tebusan Harus Dijadikan Iktibar – Khalid Abu Bakar

Kuala Lumpur – Insiden tebusan yang berlaku di Sydney akan dijadikan iktibar kepada negara dalam menghadapi sebarang kemungkinan dicetuskan individu atau kumpulan berunsur militan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media antarabangsa berhubung insiden beberapa tebusan telah ditahan dipercayai oleh lelaki bersenjata di dalam sebuah kafe di tengah Sydney pagi Isnin.

Dalam kejadian itu, terdapat bendera dikibarkan di tepi tingkap kafe berkenaan dengan tertera tulisan arab.

Khalid turut memberi jaminan bahawa pihak polis sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi ancaman atau tindakan seperti yang berlaku di Sydney.

“Apa yang berlaku di Sydney boleh dijadikan sebagai iktibar kepada negara … dan sudah mesti kita akan siap sedia dalam hadapi ancaman dan tindakan-tindakan seperti ini,” katanya.

Khalid terdahulu menghadiri perasmian Persidangan Pesuruhjaya Polis/Ketua Polis/Komander dan Komandan 2/2014 oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Maktab Polis Diraja Malaysia di Cheras dekat sini, hari ini.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut melancarkan nama baharu Jabatan Logistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada Jabatan Strategi dan Teknologi.

Sementara itu, Ahmad Zahid menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana rakyat Malaysia yang dipercayai terbabit dengan kegiatan keganasan sama ada di dalam mahupun luar negara.

Dalam perkembangan lain, Khalid menafikan laporan media tempatan yang mendakwa polis menggunakan ‘orang tengah’ untuk membayar RM780,000 bagi membebaskan penternak ikan dalam sangkar yang diculik di Kunak, Sabah oleh kumpulan bersenjata dari selatan Filipina.

“Laporan itu tidak benar sama sekali dan polis tidak pernah membuat sebarang rundingan dengan kumpulan penculik berkenaan.

“Jangan dengar cerita orang, kita (polis) sudah beritahu tidak membuat apa-apa bayaran, lagipun ‘orang tengah’ yang dimaksudkan itu polis tidak kenal langsung dan tidak tahu asal-usulnya. Saya menasihatkan jangan dengar cerita daripada sumber yang tidak sahih,” katanya.

Mangsa Chan Sai Chiun, 32, bersama seorang pekerja yang hanya dikenali sebagai Mazlan berumur sekitar 20-an sebelum ini diculik dua lelaki bersenjata di pusat ternakan ikan di Kunak, Sabah pada tengah malam 16 Jun lalu.

Bagaimanapun Chan telah dibebaskan oleh kumpulan penculik berkenaan pada 9 Dis lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.