Benar Masyarakat Bukan Islam Guna Kalimah Allah, Selari Dengan Ketetapan PR – Azmin

Shah Alam – Menteri Besar Selangor, Azmin Ali menganggap kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bahawa bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah sebagai selaras dengan ketetapan Pakatan Rakyat.

Guan Eng pada Jumaat berkata fatwa yang melarang bukan Islam menggunakan kalimah Allah tidak terpakai ke atas bukan Islam.

“Itu pendirian Pakatan Rakyat termasuk Presiden PAS sendiri telah buat kenyataan bahawa Islam tidak melarang bukan Islam daripada menggunakan kalimah Allah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Cek Saguhati kepada Pembeli Projek Terbengkalai Taman Bukit Impian (U10), di sini, pagi tadi.

Bagaimanapun, beliau tidak pula mengulas mengapa ketetapan tersebut tidak digunapakai di Selangor, walhal negeri itu sama seperti Pulau Pinang yang menetapkan terdapat beberapa istilah yang dilarang digunakan bukan Islam, menerusi Undang-undang Tubuh Negeri masing-masing.

ADUN Bukit Antarabangsa itu juga tidak menjelaskan mengapa beliau bersetuju dengan keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa bukan Islam di negeri itu, dilarang menggunakan kalimah Allah.

Walhal nama Azmin ditimang-timang sebagai ‘hero’ apabila berjaya menyelesaikan isu rampasan Bible berbahasa Melayu yang mengandungi perkataan ‘Allah’, apabila memulangkannya kepada Persatuan Bible Sabah dan Sarawak.

Pemulangan Bible itu dicapai sebaik sahaja pihak berkepentingan akur bahawa kitab yang mengandungi kalimah Allah adalah dilarang sama sekali dibawa masuk ke Selangor.

Selain Azmin, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mempertahankan tindakan Guan Eng dan berkata apa yang dijamin Setiausaha Agung DAP itu ‘memang betul’.

Malah Anwar mempersoalkan mengapa pandangan beberapa jabatan agama negeri berlainan dengan ulama tersohor dunia, Dr Yusof Al-Qardawi.

“Ada ulama terkenal di dunia yang mempunyai pendirian yang sama. Berbeza dengan pendirian yang diambil beberapa jabatan agama negeri,” katanya pada Isnin.

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (MPPR) sebelum ini mencapai kata sepakat bahawa penggunaan kalimah Allah boleh digunakan oleh dikalangan bukan Islam dengan syarat ia tidak disalahgunakan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini dilaporkan berkata parti itu berpendirian konsisten seperti yang pernah dikeluarkan pada 4 Januari 2010 lalu di mana kalimah Allah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.