Harimau Perlukan Seri

NAY PYI TAW – Ketika hanya beberapa minit pasukan Harimau Muda berada di ambang kekalahan, pemain super sub, Mohd. Rozaimi Abd. Rahman menyelamatkan maruah negara melalui gol penyamaan pada minit ke-89 bagi mengikat Singapura dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Zeyar Thiri, semalam.

Melalui situasi sepakan percuma dari jarak 25 meter, Rozaimi dengan tenang melepaskan rembatan menarik yang gagal dijangkau oleh Izwan bagi memastikan Malaysia tidak tumbang di tangan musuh tradisi negara itu.

Namun, kutipan satu mata itu belum cukup buat skuad bola sepak negara melayakkan diri ke separuh akhir dari saingan Kumpulan A dengan perlu sekurang-kurangnya mencatatkan keputusan seri ketika menentang Vietnam pada perlawanan terakhir, esok.

Jika tewas, Malaysia perlu menelan kepahitan bahawa misi untuk mempertahankan pingat emas akan berkubur lebih awal.

Sebaliknya, Singapura yang wajar berasa gembira atas keputusan itu kerana telah mengesahkan tempat lebih awal ke separuh akhir tanpa menunggu pemenang keputusan perlawanan antara Malaysia dan Vietnam.

Singapura sebelum itu memimpin perlawanan pada minit ke-61 melalui Muhd. Afiq Yunos yang memanfaatkan situasi kelam kabut di dalam kotak penalti apabila mudah menolak masuk bola ke dalam gawang hasil bola muntah tampanan penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi.

Seandainya barisan serangan negara lebih tajam, Harimau Muda boleh memenangi perlawanan itu ketika Singapura hanya mengutamakan taktik bertahan sepanjang permainan serta mengharapkan situasi bola mati untuk mendapatkan gol.

Ahmad Hazwan Bakri yang menyerlah pada perlawanan menentang Laos dengan ledakan hatrik gagal memberikan impak sementara kelemahan penyudah A. Thamil Arasu terus menjadi persoalan.

Gol penyamaan itu memberi kepuasan tersendiri kepada Mohd. Rozaimi yang awal-awal lagi yakin mampu menjaringkan gol walaupun berada dalam situasi tertekan kerana perlawanan hampir menuju ke masa kecederaan.

“Sebelum saya mengambil sepakan itu, hanya satu sahaja saya perkara dalam kepala saya iaitu gol, gol, gol dan saya rasa begitu optimis mampu menjaringkan gol

“Namun, keputusan seri ini tidak membuatkan saya berasa terlalu gembira kerana sebenarnya saya mahu kita menang dan melayakkan diri lebih awal.-utusan

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.